Tuesday 27 May 2014

'Ayah, ibu datang dalam mimpi'

Shahrizat bersama (dari kanan) Mohd Aidil, Norsyamini, Nor Auni dan Fatin Nabila ketika kunjungannya ke kediaman keluarga adik-beradik itu di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, semalam.
Shahrizat bersama (dari kanan) Mohd Aidil, Norsyamini, Nor Auni dan Fatin Nabila ketika kunjungannya ke kediaman keluarga adik-beradik itu di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, semalam.


SUNGKAI – Anak sulung pasangan Jefri Mohd Zain dan Noorsalawati Ibrahim yang maut digilis lori Jumaat lalu, mengakui kerap bermimpikan ayah dan ibunya terutama pada waktu malam.

Mohd Haikal, 16, berkata, kehadiran ayah dan ibunya itu diiringi dengan amanat agar dia menjaga empat adiknya dengan baik, di samping meneruskan pelajaran hingga berjaya.

“Sekali-skala ayah ada datang dalam mimpi… dia tinggalkan pesan jaga adik dan belajar dengan baik.

“Tipulah kalau saya tak rindu mereka, tapi ini takdir dan saya akan pegang pesanan ayah itu,” katanya ketika ditemui sempena kunjungan Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, semalam.

Mohd Haikal berkata, buat masa ini, keadaan adiknya, Fatin Adlina, 14; Mohd Aidil, 10; Norsyamini, 4 dan Nor Auni, 3, kelihatan baik.

Keadaan itu katanya, mungkin didorong situasi dikelilingi saudara mara lain, menyebabkan mereka leka.

“Cuma mini (Norsyamini) dan (Nor) Auni kadang-kadang tercari-cari jugak. Mana ayah dan umi, tapi sekejap je, kemudian dia main semula dengan sepupu lain.

“Malam ada juga dia menangis dan merengek, tapi cuma sekejap,” katanya.

Dia berkata, meskipun tinggal di kampung, rakan-rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras sering menghubunginya untuk memberi kata semangat dan mengucapkan takziah.

Dalam laporan semalam, ibu saudara Zainah Mohd Zain mengakui, dua anak kecil pasangan Jefri, 46, dan Noorsalawati, 40, sering merengek dan menangis seolah-olah merindui kedua ibu bapanya.

Bagi anak kedua, Fatin Nabila, berada dalam kalangan saudara mara sedikit sebanyak membuatkannya tidak terlalu memikirkan ketiadaan kedua ibu bapanya.

Menurutnya, ibu saudara akan membawa mereka kembali ke kediaman ibu bapanya di Cheras sebelum kembali ke kampung sempena cuti sekolah.

“Petang ni (semalam) balik kejap kat rumah, kemas apa yang patut, nanti balik semula ke kampung, selalu kalau cuti pun, kami memang tak pergi mana-mana, selalu kumpul ramai-ramai di rumah,” katanya.

Fatin Nabila merupakan pelajar tingkatan dua di SMK Alam Damai sementara adiknya, Mohd Aidil di Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai dijadualkan kembali ke sesi persekolahan sebaik tamat cuti sekolah.

Dalam pada itu, Shahrizat dalam kunjungannya menyampaikan sumbangan YKN sebanyak RM5,000.

Katanya, sumbangan berkenaan sebagai tambahan bantuan kolektif RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban kewangan keluarga berkenaan.

“Ini sumbangan tambahan yang kita anggap sebagai permulaan proses tabungan anak-anak ini, jika ada keperluan lain, saya selaku Ketua Wanita Umno sedia untuk membantu khususnya jika ia melibatkan persekolahan mereka.

“Apa yang saya nampak, keperluan keluarga ini dijaga dengan baik di bawah ibu saudara mereka dan kita harap kepentingan anak-anak ini terus terbela,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh salurkan terus ke akaun Mybank 114301042467 atas nama Zainah Mohd Zain atau menghubunginya di talian 019-6065911.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment