Sunday, 18 May 2014

Industri sukan lasak mungkin gulung tikar

Industri sukan lasak mungkin gulung tikar

MALAYSIA kaya dengan warisan keindahan alam semulajadi serta pelbagai landskap yang boleh menjadi tarikan khususnya bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti lasak.

Meredah hutan belantara atau jeram, mendaki bukit atau gunung adalah antara aktiviti lasak yang menjadi pilihan.

Tambahan, bukan sukar untuk pergi ke tempat-tempat yang mencabar ini.

Malah bagi mereka yang sesekali ingin melakukan kegiatan lasak ini pun akan tertarik untuk melakukannya, meskipun tanpa persediaan rapi.

Satu contoh ialah Bukit Tabur yang terletak di Taman Melawati, di pinggir ibu kota Kuala Lumpur.

Bukit yang tersohor dengan pemandangan indah semula jadi hutan simpan ini menjadi tumpuan warga kota yang mahu menghirup udara segar di puncaknya sambil menikmati panorama bandaraya Kuala Lumpur.

Bahagian timur bukit ini mempunyai permukaan berbatu yang menguji ketangkasan serta keberanian pendaki. Bagaimanapun, lokasi indah ini bukan tanpa risiko. Banyak jiwa yang sudah melayang ketika cubaan untuk mendakinya dan ramai juga tersesat ketika meredah hutannya.

Apa yang berlaku ini membuatkan ramai berfikir berkali-kali sebelum melakukan aktiviti lasak ini.

TIDAK ADA PERSEDIAAN

Ramai yang melakukan aktiviti lasak tanpa sebarang persediaan rapi, peralatan mahu pun jurupandu. Mereka ini seolah-olah mahu mencuba nasib.

Pengurus Outworld Training and Equipment Manager, Haslil Razif Amir Hasan yang aktif dalam sukan lasak sejak 10 tahun lepas memberitahu penulis, ramai yang tertarik ke Bukit Tabur kerana keindahan semulajadi tambahan kedudukannya yang dekat dengan bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, berapa ramai yang sedar dengan tahap kecerdasan mereka apatah lagi laluan sukar ke puncak bukit itu. Mereka tidak membuat sebarang persediaan dan mengambil mudah banyak perkara termasuk keselamatan diri.

"Bagi mereka, tiada yang perlu dibimbangkan. Lagi pun dari tempat mereka berdiri, boleh nampak KLCC. Hospital pun dekat, boleh juga buat panggilan telefon jika berlaku kecemasan.

"Malah ada yang tak bawa bekalan air minuman semasa mendaki. Pada mereka boleh beli minuman semasa pendakian turun di kedai yang berhampiran.

"Malangnya, mereka menjadi terlalu letih apabila mendaki turun kerana keadaan permukaan bukit yang begitu mencabar," keluh Haslil Razif ketika mengulas sikap sesetengah orang yang tidak mengendahkan keselamatan peribadi apabila melakukan aktiviti lasak.

HASIL KAJIAN

Menurut Haslil Razif yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang sukan lasak, kebanyakan kejadian malang berpunca daripada kegagalan individu mengutamakan keselamatan diri apabila enggan menggunakan juru pandu bertauliah.

Ini dikukuhkan lagi dengan hasil kajiannya bertajuk "Adventure Tourism: Safety in White Water", ketika melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana Pembangunan Pelancongan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Melibatkan 330 responden dan meliputi empat kawasan iaitu Sungai Selangor di Kuala Kubu dan tiga sungai di sekitar negeri Perak, kebanyakannya terlalu 'berkira' mengenai aspek keselamatan diri.

Kajian itu juga mendapati tiga penemuan penting iaitu tiada pengalaman, kurang stamina dan tunjuk lagak mendedahkan mereka kepada risiko tidak diundang. 

"Tidak mahu bayar dan lebih rela pergi sendiri. Mereka sanggup meletakkan nyawa dalam keadaan bahaya daripada mengeluarkan wang untuk keselamatan.

"Pergi sendiri memanglah percuma tetapi risikonya kita tidak tahu. Sikap dan mentaliti ini harus diubah," katanya.

UTAMAKAN KESELAMATAN

Bagi kebanyakan ekspedisi yang menggunakan juru pandu bertauliah seperti aktiviti meredah jeram sungai yang deras arusnya, jarang kedengaran berlaku kejadian yang tidak diingini.

Menurut Haslil Razif, ini kerana setiap peserta akan dilengkapi dengan jaket keselamatan, topi keledar serta taklimat awal mengenai langkah-langkah keselamatan.

"Sebab itulah pentingnya aktiviti lasak diketuai juru pandu bertauliah. Ini yang kita perlu tekankan kerana sukan lasak mampu menjadi antara produk pelancongan negara," katanya.

KEMALANGAN JEJAS SUKAN LASAK

Kemalangan yang melibatkan aktiviti lasak menjadi ramai yang bimbang nasib yang sama akan menimpa diri mereka, justeru, mereka melupakan sahaja hasrat untuk melibatkan diri.

Sama ada ini fenomena sementara atau jangka panjang, ia menjejaskan pihak yang mengendalikan perniagaan sukan lasak.

Jika sebelum ini kos pakej sukan lasak sekitar RM100 atau lebih bergantung kepada tahap kesukaran dan jarak destinasi, kini ia terpaksa diturunkan antara 30-40 peratus.

Kurang permintaan untuk menyertai sukan lasak menyebabkan ada pengusaha terpaksa mengambil langkah menurunkan harga atau kandungan pakej pada tahap tidak munasabah.

Langkah itu terpaksa diambil kerana tidak mahu operasi syarikat seperti "hidup segan mati tak mahu" atau lebih teruk lagi, "gulung tikar".

"Semakin sukar mendapat pelanggan sehingga terpaksa menurunkan harga atau kandungan pakej yang ditawarkan. Bagi saya, ini boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan apabila harga ditawarkan begitu rendah," kata Haslil Razif.

Menurut beliau, ada sebab mengapa aktiviti lasak seperti pendakian bukit, gunung dan sukan air mengenakan harga yang dilihat agak tinggi kerana mengambil kira aspek keselamatan yang amat dititikberatkan. - Bernama

No comments:

Post a Comment