Sunday 18 May 2014

Kematian kedua jemaah Umrah atas pesawat bukan disebabkan MERS-CoV

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini menafikan bahawa kes kematian kedua jemaah Umrah dalam pesawat dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada 16 Mei, disebabkan jangkitan virus MERS-CoV.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jenazah yang telah diambil sampel untuk ujian saringan bagi jangkitan MERS-CoV, didapati negatif untuk MERS-CoV.

Katanya keputusan awal hasil bedah siasat mendapati si mati menghidap penyakit Pneumonia dan pihaknya masih menunggu keputusan akhir bedah siasat bagi mengetahui penyebab sebenar kematian.

"Maklumat yang diperolehi mendapati kes mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas selama tiga hari semasa berada di Tanah Suci dan tidak pernah mendapatkan rawatan semasa di sana.

"Semasa dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, beliau telah mengalami kesukaran untuk bernafas dan kemudiannya meninggal dunia," jelas Noor Hisham dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Kata beliau, pihaknya juga telah dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa si mati yang merupakan warga Malaysia berusia 89 tahun, juga menghidap asma, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung serta dalam rawatan sejak sebelum mengerjakan umrah.

Selain itu, Noor Hisham memaklumkan, pihak Kementerian Kesiahatan telah melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan mengikut pelan tindakan yang telah ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai kesemua kontak rapat kepada kes dan menjalankan disinfeksi pesawat (flight disinfection) mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Katanya lagi, saringan demam telah dilakukan ke atas semua 107 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat yang sama dan terdapat tiga penumpang yang dapati mengalami gejala demam ringan dan seorang mengalami batuk tetapi tiada demam.

Bagaimanapun katanya kesemua penumpang tidak mengalami sebarang masalah pernafasan.

Tambahnya lagi, jenazah juga telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sampel telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk menentukan penyebab kematian.

Wanita tersebut meninggal semasa perjalanan pulang dari mengerjakan umrah bersama tiga ahli keluarga dalam pesawat penerbangan dari Jeddah di Arab Saudi ke Kuala Lumpur pada 16 Mei 2014.

Ini merupakan kematian yang kedua melibatkan jemaah Umrah di atas pesawat pada tahun ini.

Pada 10 Mei lalu, seorang penumpang pesawat Airasia X meninggal dunia dalam perjalanan dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Mohd Yusof Awang memaklumkan warga emas Indonesia berusia 64 tahun itu dalam perjalanan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment