Friday 16 May 2014

Sarawak: Sembilan ADUN, dua ahli Parlimen tinggalkan parti

Tan Sri William Mawan Anak Ikom - Gambar fail

KUCHING: Persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 pada Khamis dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri William Mawan Anak Ikom sebagai Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP ) yang juga merupakan Ahli Parlimen P205 Saratok.

William Mawan membuat pengumuman tersebut kepada pihak media selepas selesai majlis penangguhan persidangan di bilik media Dewan Undangan Negeri Sarawak di mana William Mawan turut mengumumkan beliau akan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) .

Selain William Mawan, turut membuat pengumuman keluar dari SPDP adalah empat orang ADUN iaitu ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus. Turut mengumumkan keputusan meninggalkan parti ialah ahli Parlimen Baram Anyie Ngau.

"Bagi menyelesaikan masalah dalam SPDP, saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden SPDP. Ini bukan kes kapten meninggalkam kapal, tetapi kerana kurang berpuas hati," kata William Mawan.

Beliau juga menyatakan bahawa dia percaya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah maklum tentang peletakan jawatannya dan beliau bersedia untuk mengambil risiko berkenaan.

Tindakan William Mawan dan beberapa ahli SPDP yang menyertai parti TEGAS turut diikuti oleh empat ADUN Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang terdiri daripada ADUN Bawang Assan iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh, ADUN Bengoh, Datuk Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina dan ADUN Engkelili Johnichal Rayong Ngipa.

Selain itu, ADUN Pelagus dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu George Lagong juga turut membuat keputusan untuk menyertai parti TEGAS.

Dalam pada itu, Datuk Peter Nansian yang merupakan ADUN Tasik Biru memaklumkan bahawa parti TEGAS akan membuat permohonan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti komponen BN negeri.

Peter turut menyatakan jawatan dalam parti TEGAS akan ditentukan kemudian selepas segala urusan selesai.

"Kami telah membuat permohonan kepada BN untuk menyertai parti komponen BN dan selebihnya kami serahkan kepada mereka. Selepas ini kami akan menghantar permohonan secara formal," kata Peter.

Namun demikian, kesemua mereka yang membuat pengumuman keluar parti SPDP masih lagi memegang beberapa jawatan menteri memandangkan mereka masih lagi bersama BN.

SPDP ditubuhkan pada November 2002 dan sebelum ini terdapat beberapa kekecohan dalam parti berkenaan dimana Ketua Wanita SPDP telah mengadakan serta meluluskan usul undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh sayap Wanita pada Sabtu lepas, 18 daripada 20 orang yang hadir bersetuju untuk meluluskan usul tersebut.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan memberi komen berkaitan penubuhan parti baru di Sarawak yang menjadi bualan ramai di negeri itu ketika ini di mana ramai di antara ahlinya merupakan individu-individu yang membuat pengumuman keluar parti SPDP mulai Khamis. 

Ketika ditanya tentang parti TEGAS serta pengumuman William Mawan tentang keputusan beliau keluar parti, Tan Sri Adenan Satem berkata, buat masa ini beliau hanya akan bertindak melihat dahulu perkara berkenaan dan akan membuat kenyataan rasmi kepada pihak media dalam masa terdekat.

- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment