BARU sahaja dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Sidek Hussein dan Datuk Aziz Sattar, kini giliran penyanyi veteran, Adam Ahmad, 50, pula yang meninggalkan kita.
Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah pada awal pagi semalam, sedikit sebanyak menyentak memori kita ketika zaman popularitinya di sekitar era 80-an.
Sebut sahaja lagu Kau Pergi Jua, masih ramai yang bisa mengingati melodi dan bait-bait lagu ini dengan jelas.
Kehadiran penyanyi dan komposer ini dalam industri seni akan terus terpahat dihati dengan nukilan lagu-lagunya.
Kali terakhir penulis melihat Allahyarham adalah pada tahun lalu, ketika pertandingan realiti, Kilauan Emas Musim Ketiga apabila dia diundang sebagai penyanyi jemputan.
Menurut isterinya, Norliza Ayat, 46, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang pada jam 12.15 pagi, setelah dua minggu ditempatkan di hospital berkenaan.
"Pada 1 Mei lalu, arwah diserang tekanan darah rendah, lalu saya membawanya ke hospital. Sehingga 8 Mei, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana doktor memberitahu paru-parunya dijangkiti kuman.
"Selepas keadaannya stabil, arwah dimasukkan ke wad biasa sehinggalah dia 'pergi'. Walaupun keadaannya mula stabil, namun butir percakapannya sudah tidak jelas.
"Lima jam sebelum arwah 'pergi', dia sempat berpesan kepada anak-anak saya agar menjaga saya dengan baik sekiranya dia sudah tiada. Itu sahaja pesan arwah," katanya lagi.
Tambah Norliza, arwah sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit serius melainkan darah tinggi dan sering berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan di hospital berkenaan.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Cempaka, Ampang sekitar jam 11.30 pagi, semalam.
Adam dan Norliza, baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 2010 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Namun, Norliza yang juga rakan sekolah arwah, mempunyai dua anak, Mohd Radhi, 29, dan Mohd Taqbir, 21, hasil daripada perkahwinan terdahulu.
Kehilangan yang dirasai
Walaupun baru empat tahun mendirikan rumah tangga, namun akui Norliza, pemergian arwah adalah satu kehilangan amat dirasai.
Menurutnya, dia mula mengenali arwah sejak di zaman persekolahan lagi, namun jodoh mereka agak lambat.
"Kami sudah lama kenal walaupun baru sahaja berkahwin. Bagi saya, dia adalah suami terbaik yang pernah saya kenali.
"Namun, saya reda di atas pemergiannya kerana percaya pada Qada' dan Qadar ALLAH SWT. Selepas ini, saya ditemani dua anak.
"Pun begitu, saya masih mempunyai ibu bapa lagi dan kami akan pulang ke Pulau Pinang nanti," katanya yang akan meneruskan perniagaan, Adam Ahmad Cafe, di negeri itu.
Tambah Norliza, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Pulau Pinang, namun mereka mempunyai kediaman di ibu kota.
"Sebenarnya, kami ke sini (Kuala Lumpur) kerana ada urusan dan setiap kali ke sini, kami akan tinggal di rumah persinggahan ini di Taman Cempaka," katanya.
Cipta dua lagu baharu
Menyelak pembabitan seniman ini dalam industri hiburan, Allahyarham amat meminati bidang nyanyian sejak dari kecil lagi.
Arwah juga mempunyai kebolehan bermain alat muzik seperti gitar dan piano serta meminati lagu-lagu yang berirama sentimental.
Allahyarham juga pernah mencipta beberapa lagu untuk penyanyi syarikat rakaman, Polygram Records, antaranya Di Hari Persandingan Mu dan Di Pantai Cinta Berahi, nyanyian Yunizar Hussein.
Pada 1983, album pertamanya, Untukmu Sayang dikeluarkan di bawah label, Omry Records dan diterbitkan oleh Omar Taib.
Allahyarham turut memiliki lebih empat album lain termasuk Kau Pergi Jua (1984), Kembali Bersama (1985), Agar Dia Kembali (1985), Rindu Menghempas Hati (1987) dan album duet bersama Zaiton Sameon, Bersamamu (2006).
Antara lagu-lagunya pula, termasuk Ku Ingin Kembali, Bahagia Oh Di Mana, Hanya Mainan Mimpi, Biarlah Ku Sendiri, Di Mana Cahaya, Kehilangan Abadi, Gerimis Hati, Kasihmu Oh Ibu, Masa Masa Lalu, Kisah Dua Insan, dan Untukmu Sayang.
Mungkin ramai tidak tahu, seniman ini adalah tulang belakang dalam menaikkan nama penyanyi, Aishah, menerusi lagu ciptaannya, Janji Manismu apabila berjaya menjuarai Anugerah Juara Lagu kelima (AJL5).
Bukan itu sahaja, lagu ciptaannya, Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff juga memenangi AJL8, pada 1993.
Walaupun namanya semakin dilupai sebagai komposer hebat satu ketika dahulu, namun arwah sempat mencipta dua lagu baharu.
Menurut Norliza, dua lagu iaitu, Andai Ada Bahagia nyanyian Fakhrurrazi dari Brunei dan Permaisuriku Ratu Hatiku, nyanyian Haikal Othman, baharu sahaja diperkenalkan.
"Kedua-dua penyanyi itu adalah bakat baharu yang dicungkil. Lagu itu sudah mula diperdengarkan di radio Brunei, namun saya tidak pasti di radio tempatan.
"Itulah antara peninggalan terakhir arwah untuk industri," katanya mengakhiri perbualan. -- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment