Tuesday 4 March 2014

Azizul mengaku pukul anak dua atau tiga kali setahun, tidak pernah di Sweden


KUALA LUMPUR: Azizul Raheem Awaluddin memberi kenyataan di Mahkamah Daerah Solna, di hadapan ketua hakim, Mattias Moller pada Isnin. 

Azizul mengaku memukul anak-anaknya, namun jarang-jarang sekali, sebanyak lebih kurang dua atau tiga kali setahun dan tidak pernah di Sweden, hanya di Malaysia dan Afrika Selatan.

Azizul menyangkal semua kenyataan anak-anaknya yang mendakwa kempat-empat mereka didera dalam jangkamasa tiga tahun mulai 2010 semasa mereka berada di Sweden. 

Rotan yang dijumpai di rumah mereka di Sweden, menurut Azizul, tidak pernah digunakan sebagai objek memukul. Kedua-dua rotan itu hanyalah cendera hati yang diterimanya satu masa dahulu.

Kebanyakan kejadian yang dilaporkan anak-anaknya melalui video testimoni yang dimainkan di mahkamah minggu lepas, tidak dapat diingati oleh Azizul. 

Menurut rakan terdekat yang menetap di Sweden yang turut menghadiri perbicaraan memberitahu Astro AWANI, bahawa Azizul yang duduk di sebelah peguam Jonas Tamm, kelihatan tegas sewaktu menjawab soalan-soalan pendakwaraya, Anna Arnell.

Pendakwaraya menyoal dalam bahasa Sweden yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan tersebut akan bersambung pada 5 Mac nanti.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment