Saturday 11 January 2014

Polis buru dua lelaki terbabit dalam cubaan culik di Pulau Pinang

Polis buru dua lelaki terbabit dalam cubaan culik di Pulau Pinang

GEORGE TOWN:  Polis sedang memburu dua lelaki yang terbabit dalam cubaan menculik seorang akauntan berhampiran sebuah hotel di Tanjong Tokong pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata polis sudah mengenal pasti nombor pendaftaran dan kenderaan yang diguna oleh suspek dalam kejadian 9.30 pagi itu.

Suspek dipercayai berusia antara 20-an dan 30-an, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas kes itu, Gan berkata mangsa, seorang lelaki berusia 25 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerja apabila keretanya dilanggar dari belakang oleh kereta yang dinaiki dua lelaki.

Mangsa kemudian memberhentikan kereta dan turun dari kenderaannya untuk berunding dengan dua lelaki tersebut apabila secara tiba-tiba seorang daripada suspek menekup muka mangsa menggunakan tuala kecil yang dipercayai mengandungi bahan kimia.

Mangsa juga dipukul sebelum cuba ditarik masuk ke dalam kereta suspek, katanya.

Bagaimanapun kata Gan, mangsa sempat menjerit meminta tolong dan berjaya menarik perhatian orang awam yang bergegas membantu mangsa, menyebabkan suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Gen 2.

Gan berkata kes itu disisasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment