Monday 1 December 2014

Saham Malaysia melonjak di PBB

Malaysia mempunyai kad pencapaian cemerlang yang diiktiraf PBB menerusi Matlamat Milenium PBB 2015. - Gambar fail

NEW YORK: Saham Malaysia melonjak di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selepas hampir sebulan setengah ia dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff bertambah sibuk menerima kunjungan dan menghadiri mesyuarat dengan wakil tetap UNSC yang lain.

Satu perjumpaan dijangka diadakan dengan wakil tetap Amerika Syarikat ke PBB, Duta Samantha Power yang dijangka mengadakan apa yang disifat sebagai 'kunjungan hormat' minggu depan.

Walaupun Hussein menyifatkan ia sebagai kunjungan biasa, namun para penganalisis diplomatik melihat pertemuan itu sebagai tanda Malaysia merupakan anggota UNSC yang diberi perhatian walaupun ia tidak mempunyai kuasa veto.

Amerika, sebagai peraturan mahu menyelaras isu dengan pendatang baharu di UNSC bagi memastikan kerjasama berjalan lancar walaupun mungkin tidak bersetuju dalam banyak perkara.

“Saya sebenarnya mahu mengunjungi Puan Power, tetapi saya diberitahu beliau mahu mengunjungi saya," kata Hussein.

Beliau berkata banyak perwakilan tetap kagum dengan margin pemilihan Malaysia yang besar sebagai Wakil Tidak Tetap UNSC, 187 daripada 192 undi, dan teruja untuk mengetahui cara Malaysia meraih sokongan.

"Walaupun penggal dua tahun kita di UNSC secara rasmi bemula 1 Januari 2015, kita telah menghadiri prosiding UNSC sebagai pemerhati sejak 21 November.

"Staf kanan dan saya bergilir-gilir menghadirinya kerana hanya seorang staf anggota boleh menghadiri prosiding UNSC. Peralihan tempoh ini membolehkan kita mengikuti kerumitan yang dihadapi UNSC," jelas Hussein dan menambah dunia menghadapi lebih banyak laungan hari ini berbanding sebelumnya dan ini bermakna lebih banyak kerja untuk kita semua".

Jawatankuasa ASEAN

Katanya Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015 akan turut mempengerusikan Jawatankuasa ASEAN di New York dan menyuarakan pandangan kumpulan ASEAN.

Duta ini turut menjelaskan tiga tonggak yang menyumbang kepada kestabilan ASEAN iaitu faktor politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Beliau yang merupakan wakil tetap keempat mewakili Malaysia di UNSC berkata Malaysia akan menyuarakan isu global di UNSC "kerana kita telah dipilih untuk berbuat demikian".

Malaysia menurut Hussein mempunyai kad pencapaian cemerlang yang diiktiraf PBB menerusi Matlamat Milenium PBB 2015.

"Kita akan mencuba mencapai hasrat keamanan dan keselamatan menerusi kesederhanaan semasa bertugas di Majlis Keselamatan," katanya.

Beliau berkata Malaysia telah menerajui usaha untuk menjayakan dua resolusi yang beliau sifatkan 'bukan kontroversi' dan mempunyai potensi untuk mendapat konsensus.

Yang pertama ialah berkaitan pengambilan dan penggunaan kanak-kanak dalam konflik bersenjata dan yang kedua berhubung wanita, keamanan dan keselamatan.

"Oleh kerana sifatnya yang bukan kontroversi, kedua-dua resolusi ini boleh mudah diterima. Namun ini tidak bermakna Malaysia tidak akan membangkitkan isu yang kontroversi," katanya.

Isu Palestin

Tambahnya, isu lain yang menjadi perhatian Malaysia ialah Palestin yang tertangguh hampir 70 tahun. Jika kita tidak menangani isu ini, ia akan menimbulkan keadaan lebih buruk. Untuk memanjangkan isu ini adalah tidak bijak.

"Kita mahu Majlis Keselamatan memainkan peranan bukan sahaja di Palestin tetapi negara lain seperti Syria, Libya, Yemen dan lain-lain, kerana jika kita tidak memberi harapan kepada rakyatnya, mereka biasanya menyertai konflik (di negara mereka) dan menjadikan keadaan bertambah buruk," jelas Hussein. 

- Sumber: AFP 

No comments:

Post a Comment