Thursday 4 December 2014

Mangsa penderaan emosi boleh lapor polis


KUALA LUMPUR - Mangsa keganasan rumah tangga kini boleh membuat aduan di mana-mana balai polis mengenai penderaan emosi dan psikologi yang dialami.

Ini berikutan pindaan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga pada 2012 yang memperluaskan takrif keganasan rumah tangga daripada hanya menekankan aspek penderaan berbentuk fizikal dan seksual kepada penderaan bukan fizikal iaitu psikologi dan emosi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, berdasarkan Seksyen 2 akta tersebut, mangsa keganasan yang boleh mendapatkan perlindungan adalah suami atau isteri, bekas isteri atau bekas suami, kanak-kanak dan mana-mana anggota keluarga yang lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Chong Sin Woon yang ingin tahu strategi kementerian untuk membantu wanita yang terpaksa mengharungi keganasan bukan fizikal.

Mei Fun berkata, mangsa juga boleh memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) jika merasakan diri mereka terancam atau tidak selamat dan dicederakan atau diugut.

"IPO dan PO boleh dipohon terus oleh mangsa kepada mahkamah atau melalui khidmat guaman atau pegawai penguatkuasa iaitu polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Perintah ini akan menghalang pelaku untuk terus menggunakan apa-apa cara keganasan rumah tangga terhadap mangsa atau keluarga yang dilindungi," kata Mei Fun. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment