Thursday 4 December 2014

Kerajaan setuju syor RCI tubuh Urus Setia Tetap tangani isu pendatang asing Sabah

Para media yang membuat liputan keputusan siasatan RCI berkenaan pendatang asing di Sabah yang diumumkan oleh KSN hari ini turut diberi buku percuma mengenai hasil keputusan RCI itu selepas sidang media.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menerima syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mewujudkan Urus Setia Tetap diwujudkan untuk mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Ketika mengumumkan laporan RCI, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata jawatankuasa tetap itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah, yang akan melaporkan kepada Jemaah Menteri Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Keahlian, terma rujukan serta bidang kuasa jawatankuasa itu akan ditetapkan pada masa terdekat," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Saripuddin Kasim, yang sebelum ini merupakan Setiausaha RCI, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.

Pada masa sama, Ali berkata sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan ditubuhkan.

Katanya jawatankuasa kerja itu antara lain akan meneliti isu-isu dibangkitkan oleh laporan RCI serta maklum balas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah untuk diketengahkan kepada Jawatankuasa Tetap.

Sebelum ini RCI memberi cadangan jika konsep Jawatankuasa Pengurusan tidak diterima kerajaan, RCI mengesyorkan suatu Majlis Perundingan mengenai pendatang asing diwujudkan.

Majlis Perundingan itu akan diketuai oleh profesional bebas yang mempunyai integriti tinggi dan tidak terlibat dalam politik.

Laporan RCI mengesyorkan, ia haruslah terdiri dari pegawai tinggi kerajaan, ahli korporat, akademik atau wakil persatuan guaman.

Majlis itu akan membincangkan serta meneliti masalah tersebut, dan seterusnya membuat laporan termasuk syor kepada urus setia.

Dalam pada itu, kata Ali, dalam mencari penyelesaian ke atas isu kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah, suruhanjaya telah meneliti tiga cadangan daripada saksi-saksi.

Menurutnya cadangan pertama adalah menarik balik semula kad pengenalan yang diberi secara haram dan suruhanjaya mendapati cadangan ini mempunyai merit tersendiri tetapi timbul kesukaran dalam mekanisme untuk mengenal pasti dan mengesan kad pengenalan.

Katanya cadangan kedua iaitu memperkenalkan 'Kad Pengenalan Sabah' kepada penduduk Sabah Asli, bagaimanapun suruhanjaya mendapati tiada sebarang mekanisme pelaksanaan dikemukakan oleh mana-mana saksi.

Cadangan ketiga iaitu penubuhan jawatankuasa tetap mengenai pendatang asing di Sabah dan didukung oleh sebuah jawatankuasa pengurusan, kata Ali.

Berikutan "Projek IC", lima saksi yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Lima saksi itu ialah Ramli Kamaruddin, Kee Dzulkifli Kee Abdul Jalil, Asli Sidup, Yakop Damsah dan Datuk Abdul Rauf Sani yang merupakan bekas pengarah JPN Sabah dari 1990 hingga 1992.

Projek tersebut dikatakan menjadi punca kelimpahan melampau warga asing di negeri Sabah.

Namun, laporan RCI mendapati tidak ada kesahihan kewujudan "Projek IC", sebaliknya apa yang disimpulkan ialah wujud sindiket dan individu yang dibantu oleh pegawai yang korup mengambil kesempatan atas kelemahan sistem kerakyatan berinstitusi demi keuntungan kewangan.

Buku laporan RCI mula dijual pada Khamis dengan harga RM100 senaskhah dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ia boleh dibeli di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di Kota Kinabalu dan 'One Stop Centre' Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan turut dianggotai bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Tan Sri Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J. Luping. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment