Sunday 14 December 2014

AFC ambil alih kes tindakan liar penyokong Malaysia

AFC akan mengambil alih kes kegagalan FAM mengawal penyokong pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam pada 7 Dis.

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengambil alih kes kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengawal penyokong pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada 7 Dis lalu.

Kes tersebut sebelum ini di bawah siasatan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang juga merupakan penganjur kejohanan dwitahunan tersebut.

Segelintir penyokong Malaysia bertindak liar mencederakan beberapa penyokong Vietnam selepas perlawanan yang berakhir dengan keputusan Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam.

Setiausaha AFF, Datuk Azzuddin Ahmad berkata beliau dimaklumkan oleh pihak AFC bahawa mereka akan mengambil alih kes tersebut dan FAM dikehendaki menghantar surat tunjuk sebab bagi menjelaskan perkara tersebut kepada AFC pada Isnin ini.

"Kita (AFF) tidak boleh campur tangan lagi, memandangkan bahawa bidang kuasa AFC adalah lebih besar kerana badan tersebut mewakili 46 ahli daripada negara-negara Asia walaupun AFF ada menghantar notis surat tunjuk sebab kepada FAM pada 9 Dis lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azzuddin berkata beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak FAM.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya FAM mungkin akan dikenakan hukuman denda atas kesalahan tersebut.

"Saya tidak fikir bahawa AFC akan mengambil tindakan lebih berat sehingga Malaysia dipaksa beraksi dalam keadaan stadium kosong tanpa peminat pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Dis nanti.

"Ianya adalah merupakan kesalahan yang tidak serius jika dibandingkan kes lain yang membabitkan pergaduhan yang lebih berat," kata Azzuddin.

Tindakan liar segelintir penyokong Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian luas termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memandang serius perkara tersebut.

Khairy sebelum ini meminta maaf kepada penyokong Vietnam atas tindakan penyokong Malaysia yang mencederakan penyokong negara itu.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment