Friday 14 November 2014

Operasi cari nelayan hilang dihentikan

KUALA BESUT - Operasi besar-besaran mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika memancing di perairan, di sini, Khamis lalu, ditamatkan jam 1.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, operasi dihentikan selepas pasukan mencari dan menyelamat gagal menemui sebarang kesan berkaitan mangsa, Ali Majid, 59.

Menurutnya, serentak dengan itu Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pulau Perhentian Kecil ditutup termasuk Pusat Operasi Kecil SAR di Terminal Pelancong Kuala Besut.

“Cuaca hujan pagi semalam turut menyukarkan usaha mencari mangsa ditambah keadaan laut agak bergelora dan pandangan terhad.

“Namun selepas ini pencarian akan dijalankan melalui rondaan biasa dengan pusat operasi melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut,” katanya.

Khaled yang juga ketua operasi mencari mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut termasuk Adun Kuala Besut, Tengku
Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Pasukan SAR sebelum ini membabitkan pelbagai agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JPAM Besut, Rela, Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Besut, Persatuan Nelayan Kawasan Besut dan orang awam.

Sementara itu, Tengku Zaihan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus mencari mangsa.

Menurutnya, komitmen semua pihak amat dihargai manakala keluarga mangsa diharapkan kuat semangat dan tabah menghadapi dugaan.

“Kami semua bersedih kerana usaha mencari mangsa tidak berjaya tetapi semua pihak telah melakukan yang terbaik termasuk polis menyediakan kemudahan helikopter untuk tugas mencari,” katanya yang ditemui di Terminal Pelancong, di sini, semalam.

Beliau meluangkan masa melihat operasi terakhir pagi semalam sebelum ia ditutup.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment