Friday 14 November 2014

Erra Fazira akui kini sedang bercinta

Erra Fazira akui sedang mengenali hati budi seorang jejaka, namun menafikan dakwaan kekasihnya itu daripada golongan VIP.

Pelakon Erra Fazira akui dia kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka, namun pelakon jelita tersebut menafikan dakwaan kekasihnya itu adalah daripada golongan VIP seperti yang pernah digembar-gemburkan.

“Ya, saya akui saya kini sedang berkawan dengan seseorang, siapa dia itu saya belum bersedia untuk dedahkan tetapi yang pastinya bukan golongan VIP dan seorang bujang.

“Sepanjang sejarah saya berkawan, saya tidak pernah menyasarkan golongan VIP, ahli politik atau sesiapa sahaja yang ada status untuk menjadi pasangan saya. Saya lebih tertarik kepada hati budi seseorang itu.

“Saya jenis orang yang tak suka keluar rumah dan tak campur dengan orang. Jika pergi ke majlis yang ada golongan tersebut pun, ia hanya atas dasar kerja saja. Kawan rapat tahu saya macam mana.

“Jadi, bila masa pula saya nak bertemu serta rapat dengan golongan VIP. Itu semua tak benar dan saya tak ada kena-mengena dengan mana-mana golongan VIP,” katanya.

Jelas pengacara program bual bicara, Primadona itu mendedahkan statusnya kini kerana berharap segala spekulasi mengenai dengan siapa dia berkawan dapat dihentikan.

“Saya terpaksa mendedahkan cerita sebenar yang saya kini sedang berkawan dengan seseorang adalah sebab saya nak hentikan semua gosip yang tidak benar ini. Gosip tersebut memberi impak kepada saya. Apabila ada elemen yang tidak sihat, jadi ia menganggu saya lebih-lebih lagi saya adalah ibu tunggal.

“Disebabkan saya diam, orang buat cerita tak betul seolah-olah saya kemaruk nak bercinta pula. Sebab itu saya mengaku saya sedang mengenali seseorang sekarang,”ujarnya lagi. 

- Sumber: Astro Gempak

No comments:

Post a Comment