Thursday 13 November 2014

Google Malaysia papar lakaran Supermokh

Google Malaysia hari ini memaparkan seni lakaran atau 'doddle' Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sempena ulang tahun kelahiran ke-61, hari ini.

GOOGLE Malaysia hari ini memaparkan seni lakaran atau 'doddle' Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sempena ulang tahun kelahiran ke-61, legenda pemain bola sepak negara itu.

Ini merupakan penghormatan buat bintang bola sepak negara itu yang telah membawa Malaysia ke arena antarabangsa.

Pada sekitar 1970-an, Mokhtar mewakili negara sehingga menjadikan Malaysia kuasa besar bola sepak Asia dengan mengalahkan gergasi bola sepak Asia pada masa itu, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau digelar 'SuperMokh' kerana kemahirannya sebagai penyerang, kekuatan dan keupayaannya untuk menjaringkan banyak gol yang luar biasa sepanjang kerjayanya.

Antara detik terkenal buat Mokhtar ialah ketika bersalaman dengan Diego Maradona sebelum perlawanan persahabatan menentang Boca Juniors.

Mokhtar menjaringkan sebanyak 175 gol untuk Selangor, 20 gol dalam 13 penampilan mewakili Kwong Yik Bank dan 125 gol untuk Malaysia, menjadikan jumlah jaringan gol sebanyak 320, sepanjang kerjayan bola sepaknya.

Mokhtar merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa untuk Selangor dan Malaysia dan Allahyarham masih dikenang sebagai legenda untuk Selangor dan Malaysia.

Mokhtar meninggal dunia pada 11 Julai 1991 selepas bertarung nyawa dengan penyakit saraf yang jarang didapati, neuron motor selama tiga tahun.

Sebuah dokumentari 'The Untold Truth About Supermokh' diterbitkan buat pertama kali dalam 'The National Geographic Channel' pada 30 Ogos 2010. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment