Thursday 13 November 2014

Bertani di bumbung bangunan

Ismail (tengah) melihat sendiri antara sayuran yang dijalankan secara pertanian bandar.

BATU PAHAT – Pertanian bandar melalui Sistem Organik Aqua masih baharu di Malaysia, namun sebuah bangunan hotel enam tingkat di sini, mempeloporinya dengan menanam pelbagai jenis sayuran di bumbung bangunan itu.

Pengurus Hotel Bunga Raya, Peter Chew berkata, dia memulakan tanaman pelbagai jenis sayuran seperti kobis, cili, salad, sawi dan kucai dengan kerjasama serta tunjuk ajar Jabatan Pertanian sejak dua bulan lalu.

Katanya, dengan bercucuk tanam secara pertanian bandar, kerajaan secara amnya dapat mengatasi kekangan tanaman konvensional berkenaan di atas permukaan tanah.

“Pertanian seperti ini sebenarnya menjimatkan kos, tenaga dan masa. Sejak kami menjalankannya, sebanyak 150 kilogram telah berjaya dituai.

“Kos permulaan sekitar RM10,000 dengan mendapatkan Sistem Organik Aqua yang memiliki pengairan automatik serta penggunaan baja yang dicadangkan Jabatan Pertanian.

“Kepada sesiapa termasuk anak muda yang ingin melihat projek pertanian bandar, saya mengalu-alukan mereka ke bumbung hotel ini,” katanya ditemui pada program Pertanian Bandar Peringkat Negeri Johor.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamad dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pertanian Pengembangan Johor, Ahmad Kamil Mohd Yunus serta Adun Semerah, Ismail Roslan.

Sementara itu, Ismail berkata, teknik pertanian bandar ini dapat dilakukan ramai pihak kerana mampu meringankan kos hidup melalui pengeluaran makanan di negeri ini sehingga 20 peratus.

Katanya, ia mampu mengurangkan kadar import dan kemudiannya membolehkan harga jualan jauh lebih murah.

“Pelbagai tanaman boleh dijalankan di bumbung bangunan, selain institusi tertentu atau pemilik bangunan, kebun komuniti juga dapat dilakukan seterusnya menghasilkan makanan berkualiti serta selamat dimakan.

“Ia mampu mengindahkan landskap kawasan bandar dengan tanaman hijau serta menghasilkan udara sekeliling yang lebih segar,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri berbangga dengan tindakan diambil Hotel Bunga Raya ini, kerana menjadi perintis pertanian bandar dan pihaknya tiada halangan untuk mana-mana individu melaksanakannya, malah menggalakkan lagi terutama kepada golongan muda.

“Projek ini tiada halangan kerana selagi berminat, mereka boleh mendapatkan bimbingan Jabatan Pertanian yang bersedia menawarkan khidmat nasihat dan bantuan lain,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment