Tuesday 25 November 2014

ASNB umum agihan pendapatan 6.20 sen seunit bagi ASN3

Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Dis, 2014.

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.20 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 Nov, 2014.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM51.24 juta yang akan dimanfaatkan seramai 30,710 pemegang unit yang melanggan 826.51 juta unit ASN 3, kata Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Beliau berkata pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Dis, 2014, berdasarkan nilai aset bersih ASN 3 pada Nov 30, 2014.

ASN 3 adalah dana imbang dengan harga berubah-ubah, dengan portfolionya diimbangkan di antara instrumen pendapatan tetap, ekuiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan lain-lain instrumen pelaburan.

"Sehingga 24 Nov, 2014, ASN 3 telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM19.63 juta.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM8.73 juta atau 44.5 peratus," kata Ahmad Sarji semasa mengumumkan pengagihan pendapatan ASN 3 di sini hari ini.

Beliau berkata pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan pula sebanyak RM8.21 juta atau 41.8 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

"Selebihnya sebanyak RM2.68 juta atau 13.7 peratus diperoleh melalui keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat," kata Ahmad Sarji.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata pembinaan asas dan cerucuk untuk Menara Warisan Merdeka dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

"Pada masa ini, kerja-kerja tersebut telah siap sebanyak 52 peratus. Kontraktor utama kita masih belum pilih lagi.

"Kita masih di peringkat penawaran tender dan kita jangka kontraktor utama untuk kerja membangunkan projek ini dapat dilantik menjelang suku kedua tahun 2015," katanya.

Semasa ditanya mengenai rundingan antara MMC Corp Bhd dan MISC Bhd bagi pemerolehan pegangan dalam NCB Holdings Bhd, Hamad Kama Piah berkata: "Setakat ini kita tidak ditawarkan apa-apa."

Menurut laporan, MMC Corp berunding dengan MISC untuk membeli 15.7 pegangan ekuiti dalam NCB, dengan persetujuan dijangka dicapai tidak lama lagi.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment