Tuesday 14 October 2014

Kenapa riuh-rendah syarat MUET lulus universiti dinaikkan?

KUALA LUMPUR: BAJET 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat melontarkan cadangan untuk meningkatkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta syarat untuk pengijazahan.

Syaratnya ialah lulus Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) pada tahap-tahap tertentu berdasarkan kursus-kursus tertentu. Syarat-syaratnya adalah seperti dalam jadual di bawah:


Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya itu turut menyarankan agar institusi pengajian tinggi swasta melaksanakan langkah yang sama. Katanya, pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA memerlukan pemohon mencapai tahap minimum MUET iaitu Band 1.

MUET mula diperkenalkan sebagai syarat wajib masuk universiti pada tahun 2000. Pada mulanya, calon ke IPTA hanya perlu menduduki saja peperiksaan itu untuk dapat tempat. Pada tahun Jun 2009, Pemuda UMNO mencadangkan kepada kerajaan supaya ditetapkan tahap pencapaian minimum untuk layak masuk universiti.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya ketika itu berkata syarat wajib lulus itu akan jadi insentif untuk pelajar meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris.

"Tanpa adanya syarat seperti ini – tidak akan wujud sebab yang kuat dan serius untuk para pelajar bekerja keras untuk menguasai Bahasa Inggeris dan sesetengah daripada mereka mungkin berpendapat bahawa ianya tidak penting," katanya dalam satu kenyataan.

Bahawa tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah di kalangan graduan secara umumnya rendah adalah isu yang sudah dipersetujui bersama oleh banyak pihak. Kita juga bersetuju bahawa ini adalah isu yang akan jadi beban kepada negara sekiranya tidak ditangani dengan betul dan perlu ditangani segera.

Najib dalam ucapannya pada Jumaat menyebut lagi betapa dianggarkan 53,000 graduan masih belum dapat kerja biarpun enam bulan selepas habis belajar. Langkah menaikkan tahap lulus MUET itu adalah untuk membantu graduan lebih yakin diri dan ada kemahiran komunikasi untuk masuk ke pasaran kerja.

Kita tidak berselisih pendapat tentang itu.

Apa yang jadi perbahasan sejak Jumaat lalu ialah adakah peningkatan tahap lulus itu wajar, kenapa wajib untuk kursus ini dan itu, kenapa begini, kenapa begitu?

Kami menjemput anda yang cendekiawan dan bijaksana -- mahasiswa, pendidik, pemimpin masyarakat -- yang prihatin dengan masalah ini untuk berkongsi pandangan dan idea: bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini?

Isunya ialah penguasaan Bahasa Inggeris yang perlu diperingkatkan. Ini isu kita bersama. Ini isu yang sedang menghantui kita sekarang -- dan akan terus menghantui kita bertahun-tahun akan datang -- jika tidak dicarikan penyelesaiannya dengan segera.

Jika anda mahasiswa yang rasa terbeban dengan MUET, kami ingin memahami apakah masalahnya dan bagaimana anda telah cuba mengatasi masalah itu?

Jika anda guru Bahasa Inggeris yang sudah menyaksikan kejayaan murid anda memajukan diri, apakah rahsianya? Jika anda seorang yang pernah lemah berbahasa Inggeris tetapi sekarang sudah cekap, bagaimanakah anda melakukan perubahan itu? Jika anda aktivis pendidikan dan sayangkan anak bangsa, kami juga mahu mendengar pandangan anda.

Kami alu-alukan pandangan anda semua. Emelkan pandangan anda kefeedbackawani@astro.com.my. Mari kita berbincang dengan matang, jujur dan terbuka.

-  Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment