Tuesday 14 October 2014

Kejutan Saleha, Amani


SIAPA yang tidak mengenali dua selebriti, Siti Saleha dan Sharifah Amani yang begitu popular sama ada di kaca TV mahupun di layar perak.

Bakat keduanya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sering menjadi teraju utama menerusi filem dan drama tempatan.

Kejutan buat peminat kali ini, kedua aktres ini bakal beraksi di pentas teater Asrama-Ra All Stars terbitan Revolution Stage (RS) yang akan diadakan pada minggu depan.

Selain dua figura ini, ia turut dibintangi pelakon hebat seperti Nadiya Nisaa, Dira Abu Zahar, Sherry Al-Hadad, Fynn Jamal, Amerul Affendi, Intan Nor Saina dan Tuan Faisal.

Bagi Siti Saleha Mohd Baharum, 24, dia sangat teruja dengan penampilan sulungnya dalam pementasan teater versi bahasa Melayu.

Pernah beraksi dalam satu teater Inggeris (Stage Theraphy) lima tahun lalu, Saleha berkata dia sentiasa berhajat untuk berlakon di pentas namun kekangan masa sering menghambat dirinya.

"Saya bersyukur, kali ini masa mengizinkan untuk saya kembali ke pentas teater.

“Saya bernasib baik kerana sepanjang bulan ini, jadual tidak terlalu padat dan tawaran daripada abang Wan (Kharunazwan Rodzy) membuka pintu hati saya untuk menyertai pementasan ini,” ujarnya yang memegang watak sebagai Laili.

Saleha berkata, penyertaannya kali ini untuk mencabar dirinya ke bidang yang lebih berbeza demi mengutip pengalaman.

“Saya lebih sukakan kebebasan teater yang lebih mencabar berbanding filem atau drama.

“Lagipun setiap pelakon perlu lebih versatil dengan mencuba pelbagai bidang berbeza,” ujar pelakon drama Ramadan Jangan Pergi.

Dekat dengan penonton - Amani

Memegang watak Ayu, bidang teater bukanlah suatu yang baharu buat pelakon Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani.

Katanya, sejak kecil lagi dia sudah mula berjinak dengan pementasan apatah lagi ibunya, Fatimah Abu Bakar sangat aktif dalam bidang itu.

“Saya rasa teater merupakan medium lebih dekat dengan penonton dan artis-artis lain yang terlibat sama dalam persembahan.

“Bagi saya, teater lebih direct dengan penonton dan hanya ada satu peluang untuk melakukan yang terbaik di atas pentas nanti,” katanya.

Bagi Nani, sebagai pelakon dia mahu mencabar dirinya ke satu tahap lebih baik dan teater adalah platform terbaik.

Dalam masa sama, dia turut memuji kesungguhan produksi ini dalam menjayakan pelbagai pementasan.

“Saya lihat RS merupakan satu-satunya produksi yang tidak pernah putus asa dalam berkarya.

“Mereka juga mengumpulkan golongan muda yang berbakat dalam satu bengkel sehingga berjaya menerbitkan banyak teater yang berkualiti,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip, Khairunazwan Rodzy berkata, persediaan pementasan itu sudah 70 peratus siap manakala selebihnya, terserah kepada latihan pelakon.

“Hampir dua bulan berlatih, kami jarang dapat mengumpulkan sembilan pelakon dalam satu masa.

“Kadang kala kami menangguhkan sesi latihan apabila pelakon terpaksa menunda latihan mereka,” ujarnya.

Teater Asrama-Ra All Stars bakal dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 16 hingga 19 Oktober ini. Sila layari www.ticketpro.com.my untuk maklumat lanjut.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment