Friday 17 October 2014

Fenomena hujan lebat dijangka landa Pantai Timur

Hujan lebat yang dikhuatiri membawa air bah dijangka melanda negeri-negeri Pantai Timur bermula November ini. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Lima fenomena hujan lebat dijangka berlaku di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian Johor sepanjang musim tengkujuh bermula November ini hingga Mac, tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail berkata, dalam tempoh itu taburan hujan dijangka antara 500 hingga 600 milimeter sebulan, yang mungkin mengakibatkan banjir terutama di kawasan rendah.

"Bagaimanapun keadaan itu normal, tidak sebagaimana yang berlaku pada musim tengkujuh lepas seperti di Kemaman dan Kuantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Awam Mengenai Gempa Bumi, Tsunami dan Cuaca Ekstrem di Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan, Maqrun Fadli Mohd. Fahmi dan Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Jenuwa Husin serta 300 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak.

Che Gayah berkata dalam tempoh itu, ribut El-nino jika berlaku, adalah pada tahap rendah iaitu antara 50 hingga 60 peratus sahaja, tidak seperti andaian pihak tertentu kononnya negara akan mengalami ribut yang besar.

Sementara itu, beliau berkata jabatan itu mempunyai peralatan sistem teknologi pengesanan amaran awal bencana yang canggih setanding dengan negara maju seperti Jepun dan Amerika bagi mengesan bencana alam seperti gempa bumi dan ancaman tsunami.

Katanya peralatan itu telah dibangunkan di seluruh negara terutama di kawasan pantai yang berisiko tinggi termasuk di Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Muda, Kedah, Seberang Takir, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kamera yang dipasang sejak 2005 itu dapat melihat keadaan turun naik paras laut dan ombak berikutan gegaran yang berlaku di perut bumi dalam tempoh 24 jam," katanya.

Che Gayah berkata sistem berkenaan yang dibangunkan selepas berlaku tsunami pada 2004, dengan peruntukan RM19 juta, sentiasa dinaik taraf sesuai dengan tuntutan semasa.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment