Friday 26 September 2014

Sukan Asia: Skuad berbasikal sumbang perak, gangsa

Keputusan penuh kontroversi itu membolehkan Josiah (kanan) meraih gangsa.

INCHEON: Tiada kilauan emas daripada acara berbasikal trek, sebaliknya kem berbasikal menyumbang satu pingat gangsa dalam acara keirin lelaki akhir menerusi Josiah Ng.

Azizulhasni Awang pula terpaksa menerima keputusan yang disifatkan berat sebelah apabila Komisar membatalkan kemenangan tempat kedua beliau kerana didakwa menghalang laluan pelumba lain.

Keputusan penuh kontroversi itu membolehkan Josiah meraih gangsa. Pingat emas dimenangi pelumba Iran, Mohammad Daneshvarkhourram manakala pingat perak dimenangi Kazunari Watanabe dari Jepun.

Setelah tamat acara berbasikal trek di Velodrom Antarabangsa Incheon, skuad berbasikal trek negara secara keseluruhannya menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa masing-masing daripada acara keirin lelaki dan wanita.

Fatehah Mustapa meraih pingat perak dalam acara keirin wanita akhir, Ahad lepas.

Kem menembak hari ini memberi kejutan sekali lagi apabila penembak negara Muhammad Ezuan Nasir Khan meraih pingat perak dalam acara 50m Rifle Prone lelaki individu selepas mengumpul 208.5 mata.

Bagaimanapun, Muhammad Ezuan gagal membantu dua rakannya iaitu Mohd Hadafi Jaafar dan Mohammad Zubair Muhammad meraih sebarang pingat dalam acara berpasukan apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-10 dengan 1,841.9 mata.

Selain itu, acara memanah juga membuka peluang meraih pingat apabila Robin Hood negara, Muhammad Zaki Mahzan mara ke peringkat separuh akhir selepas penentuan 'shoot-off'.

Muhammad Zaki menewaskan lawannya dari Iran, Amir Kazempour dengan kedudukan 10-9 selepas 'shoot-off' ketika mata terikat 140.

Esok, Muhammad Zaki bakal berdepan pemanah India Abhishek Varma.

Badminton menyaksikan pasangan beregu lelaki dan wanita masing-masing mara ke pusingan suku akhir dan separuh akhir.

Goh V Shem/Tan Wee Kiong mara ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Thailand, Wannawat Ampunsuwan/Patiphat Chalardchalaem 21-19, 15-21 dan 21-15.

- Sumber: Bernama, 26-9-2014

No comments:

Post a Comment