Monday 15 September 2014

Promosi kahwin meriah Tahun Melawat Malaysia

Tahun Melawat Malaysia 2014 bukan hanya menggamit pelancong untuk melawat destinasi menarik di negara ini, malah turut dimeriahkan dengan program Promosi Perkahwinan Tradisional Melayu di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini, semalam.

Dihadiri 2,000 tetamu, program dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Yayasan Pendidikan Cheras itu menyaksikan empat pasangan melangsungkan perkahwinan dengan penuh tradisi dan adat budaya Melayu. 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan Cheras Datuk Zurainah Musa berkata, kerjasama strategik antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu memperlihatkan budaya tradisional perkahwinan Melayu dipromosi sebagai tarikan pelancongan di samping membantu pihak yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga. 

“Selain memperkenalkan budaya dan tradisi perkahwinan Melayu kepada pelancong, MATIC juga dapat diperkenalkan sebagai lokasi ideal untuk mengadakan majlis perkahwinan di samping memupuk semangat kerjasama antara keluarga pengantin dan penganjur.

“Program pertama anjuran yayasan ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat dan pelancong berkenaan tradisi dan adat yang semakin dilupakan dalam menjayakan sesebuah majlis perkahwinan, sebagai contoh aktiviti merewang iaitu gotong-royong yang semakin ditelan zaman terutama di bandar kita terapkan sepanjang menjalankan majlis ini,” katanya ketika ditemui pada program Promosi Perkahwinan Tradisional Melayu di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee. 

Program berkenaan dimulakan dengan sesi pernikahan pasangan pengantin pada sebelah pagi diikuti majlis persandingan keempat-empat pasangan mempelai pada sebelah tengahari.  

--Sumber: Harian metro, 15 Sept

No comments:

Post a Comment