Monday 22 September 2014

‘Nasi Tangas’ ukuran Azwan Kombos & Shima Anuar?

Azwan Kombos dan Shima Anuar,

NAMA Azwan Kombos dan Shima Anuar mungkin masih baharu dalam industri hiburan tanah air. Bahkan mereka dianggap masih muda dan ‘hijau’ dalam perjalanan seni lakonan namun mampu menggalas tanggung jawab dengan baik.

Diberi peluang untuk menerajui filem baharu Metrowealth Pictures (MIG) milik Mejar David Teo, Nasi Tangas (nasi kangkang) membuka dimensi baharu buat keduanya. Biarpun masih setahun jagung dalam dunia lakonan, Azwan mahupun Shima menganggap tawaran tersebut sebagai tuah mereka selepas beberapa tahun terlibat dengan bidang seni.

Walaupun dianggap ‘tidak layak’ oleh sesetengah pihak, namun selepas previu Nasi Tangas yang berlangsung Isnin lalu, nyata mereka punyai kredibiliti sendiri.

Filem Nasi Tangas yang turut menampilkan Adiba Yunus, Along Eyzendy, Herman Tino, Delimawati dan juga Den Wahab ditayangkan pada 18 September merupakan filem ke-95 terbitan Metrowealth.

Filem arahan Hashim Rejab mengisahkan Hairi (Azwan) suami kepada Mira (Adiba) seorang yang budiman dan amat mencintai isterinya. Namun begitu, sikapnya yang sering melebihkan rakan baiknya, Fatin (Shima) menyebabkan isterinya cemburu.

Dek kerana tidak puas hati dengan layanan Hairi, Mira termakan kata-kata ibunya untuk mengikat Hairi dengan ilmu hitam iaitu nasi kangkang. Akibat dari itu, banyak kejadian pelik dan aneh menimpa Hairi.

Sukar kawal emosi?

Jika sebelum ini, Azwan Kombos, 29, dilihat sering menghiasi kaca TV dan layar perak sekadar watak sampingan sahaja. Menerusi Nasi Tangas, Azwan atau nama sebenarnya Mohd. Al Azwan Kombos menggalas tugas besar untuk filem ini.

Bergandingan bersama dua pelakon cantik, anak kelahiran Kota Belud, Sabah ini berkongsi cerita bahawa sukar untuk mengawal emosinya.

“Cabaran paling sukar adalah perubahan karakter daripada lelaki normal kemudian bertukar emosi menjadi suami yang taat namun perengus terhadap rakan baik sendiri.

“Secara peribadi, saya tidak selesa dengan aksi-aksi ekstrem yang perlu dilakukan dalam filem ini. Namun, saya bertahan kerana ia sudah menjadi sebahagian tugas dan perlu profesional,” ujar bekas penuntut Kolej Yayasan Melaka dalam jurusan pengurusan teknologi itu.

Ditanya mengenai babak ‘makan ulat’ yang nampak jijik dengan kesan darah dan ulat hidup, Azwan berkata ia bagaimanapun merupakan sebahagian daripada teknik kamera.

“Ia nampak real dalam filem tetapi pada dasarnya hanya teknik kamera agar babak tersebut nampak lebih real.

“Walaupun saya tidak makan betul-betul tapi ulat itu hidup dan bergerak terpaksa menahan rasa geli,” katanya yang melakukan tersebut beberapa kali.

Tambahnya, pengarah (Hashim) turut mengadakan ‘demo’ untuknya agar dapat menghilangkan rasa geli ketika babak tersebut. Bahkan, pengarah itu juga berjaya mengeluarkannya daripada zon selesa kerana dia banyak terlibat dengan lakonan lebih santai sebelum ini.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment