Thursday 11 September 2014

Kertas Sains UPSR bocor disiasat bawah OSA

Lembaga Peperiksaan pada petang Rabu mengumumkan penangguhan peperiksaan UPSR bagi kertas Sains selepas mendapati soalan bagi kertas itu bocor

KUALA LUMPUR: Polis memulakan siasatan berhubung kebocoran kertas soalan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah mengikut peruntukan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, lapor The Malaysian Insider.

Siasatan itu dibuat susulan laporan yang difahamkan difailkan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pada petang Rabu.

"Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 8 (1) (e) OSA. Tiada tangkapan dibuat setakat ini," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa seperti dipetik oleh The Malaysian Insider.

Lembaga Peperiksaan pada petang Rabu mengumumkan penangguhan peperiksaan UPSR bagi kertas Sains untuk ketiga-tiga sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil selepas mendapati soalan bagi kertas itu bocor.

Peperiksaan bagi kertas Sains mengikut jadual asal sepatutnya diduduki pada pagi Khamis tetapi kini ditangguhkan kepada 30 September iaitu selepas cuti penggal persekolahan. Sekolah akan bercuti selama seminggu bermula Jumaat ini, sehari selepas UPSR sepatutnya selesai.

Siasatan awal Lembaga Peperiksaan mendapati soalan bagi kertas peperiksaan mata pelajaran itu telah tersebar menerusi media sosial.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam reaksinya meminta maaf kepada semua calon UPSR dan ibu bapa berhubung penangguhan itu.

Beliau berharap penangguhan itu tidak mengganggu tumpuan calon yang terpaksa menunggu sehingga selepas cuti sekolah ini untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

Sementara itu, Astro AWANI melaporkan soalan bagi Matematik Kertas 1 yang diduduki pada pagi Rabu dipercayai juga tersebar seawal-awalnya pada petang Selasa melalui jaringan media sosial.

Lembaga Peperiksaan ketika diminta mengulas laporan enggan memberi sebarang kenyataan.

Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memberi amaran kepada guru-guru untuk tidak bersubahat dengan pihak yang membocorkan kertas peperiksaan awam.

Presiden NUTP, Hashim Adnan menyifatkan tindakan itu sebagai bersekongkol dengan penjenayah serta tidak jujur dan amanah.

"Kalau guru juga menjadi agen penyebaran maklumat tersebut dan didapati terbukti memang guru terlibat secara langsung dalam perkara ini maka mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib," kata Hashim kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, NUTP sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan untuk menyiasat jika terdapat guru yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam pembocoran soalan peperiksaan itu.

Pada masa sama, Hashim juga menyarankan pihak berkuasa agar mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan kertas peperiksaan bagi mengelak perkara sebegini berulang kembali.

Ini bukan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku. Pada tahun lepas, peperiksaan kertas Matematik dan Matematik Tambahan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa dibocorkan dalam sebuah seminar persiapan menjelang peperiksaan di Kuala Lumpur.

Siasatan polis bagaimana pun mengesahkan dua kertas soalan itu tidak bocor sebaliknya seminar itu yang dianjurkan beberapa hari sebelum peperiksaan SPM hanya membincangkan kertas soalan tahun-tahun lepas serta beberapa soalan ramalan.

-- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment