Wednesday, 3 September 2014

Chevrolet Malibu dipasarkan di Malaysia – RM153,888


Malibu adalah sebuah bandar tepian pantai yang terletak di daerah Los Angeles, Amerika Syarikat. Ia mempunyai reputasi sebagai salah satu kawasan untuk orang-orang berada dengan harga rumah yang mahal dan kawasan yang indah. Malibu juga adalah nama model sedan Chevrolet yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia.

Chevrolet Malibu LTZ ini adalah sedan segmen D pertama yang dibawa masuk pengedar sah jenama ini iaitu Naza Quest. Ia dilengkapi enjin 2.4 liter Ecotec dengan teknologi DCVCP (Dual Continuous Variable Cam Phasing) yang menghasilkan 165hp pada 5,800rpm dan 225Nm pada 4,600rpm. Ini menjadikan Malibu salah satu kereta yang paling berkuasa yang menggunakan enjin NA (naturally aspirated).

Kuasa enjin disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik 6-kelajuan.

Sesuai sebagai sebuah kereta segmen D, ia mempunyai ruang kabin yang luas. Tetapi dari luar ia tidak kelihatan terlalu besar meskipun dengan panjang keseluruhan 4,865mm. Seperti model Cruze yang sudah agak lama berada di pasaran Malaysia, ia mempunyai bentuk yang lebih bersegi. Ada juga unsur-unsur rekaan yang turut ada di model Camaro Coupe, sebuah coupe berprestasi tinggi yang tidak dijual di sini.

Malibu ini dijual dengan harga RM153,888 (atas jalan, tanpa insurans dan cukai jalan), dengan jaminan 5 tahun atau 200,000km.

Boleh tahan juga, kerana senarai kelengkapannya tidak terkalah dengan kebanyakkan sedan dalam kelasnya. Ini termasuk sistem pengawasan tekanan tayar (TPMS), sistem stabiliti elektronik, kamera undur, brek parkir elektrik dan lampu utama dengan pelarasan tinggi automatik.


Yang menarik adalah enjin Chevrolet Malibu ini mampu untuk dihidupkan secara kawalan jauh (menggunakan kuncinya), sesuai untuk menyejukkan kabin selepas kereta dibiarkan di bawah sinaran terik matahari. Terdapat juga ruang simpanan tambahan yang terletak di belakang skrin sentuh 7 inci-nya.


-- Sumber: Astro

No comments:

Post a Comment