Monday, 29 September 2014

Alvin dicabar pulang segera jika benar anak jantan

Alvin Tan
Alvin Tan

JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Bahagian Pulai bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Alvin Tan yang secara terang-terangan mengutuk dan mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di akaun Facebook miliknya.

Exco Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman berkata, tindakan blogger yang pernah mencetuskan beberapa isu sensitif dilihat semakin melampau dan biadab.

Beliau berkata, polis dan Pejabat Peguam Negara perlu segera menyiasat tindakan tidak bertamadun itu dan membawa Alvin yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat ke muka pengadilan.

"Pemuda Umno dan NGO belia di Parlimen Pulai mahu polis dan Peguam Negara mengambil tindakan serius dan segera bagi menangani gejala yang amat membahayakan itu.

“Perkara ini jika tidak dipandang serius, bakal mencetuskan satu budaya kotor yang boleh membangkitkan suasana haru- biru di negara ini,” katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, semalam.

Sheikh Nafiq, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pulai, turut mencabar Alvin pulang ke Malaysia dan bersemuka dengan Pemuda Umno daripada menjadi pengecut dan hanya membuat tindakan keji melalui laman sosial di luar negara.

"Kalau dia anak jantan, balik segera ke negara ini dan kami (Pemuda Umno) sedia bersemuka serta tidak gentar mendengar cacian atau kutukan secara berdepan.

"Jangan jadi bacul dengan menjadikan laman maya sebagai medan untuk berlagak berani," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a comment