Ini sebahagian daripada latihan buat peserta yang akan mendaki puncak tertinggi dunia di Gunung Everest pada Mac tahun depan - Sumber Facebook Terengganu De Everest
KUALA LUMPUR: Tatkala Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh pelosok negara, sekumpulan pendaki Malaysia pula merakamkan detik bersejarah setelah berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Ararat di Turki, pada Jumaat lalu.
Rombongan ekspedisi itu disertai lapan pendaki diiringi tiga kru jurulatih diketuai Pengerusi Persatuan Kembara Negara Datuk Khalid Yunus.
Khalid ketika dihubungi Bernama melalui akaun Facebook berkata mereka mengambil masa 10 jam untuk sampai ke puncak gunung setinggi 5,137 meter itu.
"Alhamdulillah, misi pendakian kali ini mencatat kejayaan apabila kesemua pendaki berjaya ke puncak dengan selamat.
"Paling istimewa apabila kami berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dua hari sebelum detik bersejarah buat negara yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-57," katanya.
Ia sebahagian daripada latihan buat peserta yang akan mendaki puncak tertinggi dunia di Gunung Everest pada Mac tahun depan.
Sementara itu, ketua jurulatih misi kali ini, Mohd Rafi Kori berkata pihaknya memilih gunung Ararat kerana ia sesuai untuk latihan altitud tinggi dan pendakian bersalji yang mempunyai ciri persamaan dengan gunung Everest.
"Latihan seterusnya ialah mendaki Gunung Aconcagua di Argentina setinggi 6,962 meter pada Disember atau Januari tahun depan sebelum misi Everest bermula pada Mac, selain itu latihan mendaki gunung-gunung di dalam negara tetap diteruskan setiap bulan termasuk pendakian Gunung Kinabalu," katanya.
- source: Bernama
No comments:
Post a Comment