Bekas Perdana Menteri itu berpendapat bangsa Malaysia yang diimpikan sebagai teras utama Wawasan 2020 sukar dicapai. - Foto Fail
KUALA LUMPUR: Buat pertama kali rasanya sejak lebih 23 tahun lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berasa tidak yakin.
Bekas Perdana Menteri itu sudah semacam skeptikal terhadap impian beliau sendiri iaitu pembentukan Bangsa Malaysia.
Nadanya mungkin sudah tidak sama sewaktu beliau gah berucap pada Majlis Perniagaan Malaysia, 28 Februari 1991. Pada masa itu, Dr. Mahathir membentangkan pelan hala tuju Wawasan 2020. Beliaulah arkitek Bangsa Malaysia.
Pada 16 Ogos lalu, Dr. Mahathir tidak berucap di hadapan ahli perniagaan mahu pun tokoh-tokoh korporat. Beliau berdialog bersama lebih 150 anak muda anjuran Akademi Belia.
Di atas pentas dialog bertajuk Evolusi Identiti Anak Muda, mantan Perdana Menteri berusia 89 tahun itu berkata: "Sekarang sudah hampir 60 tahun kita merdeka, makin lama makin jauh perpisahan antara kaum."
"Setelah Merdeka hampir 60 tahun, perpisahan antara kaum makin jauh" - Dr Mahathir
Jelas sekali, Chedet sudah tidak seoptimis dahulu. Bangsa Malaysia yang diimpikan sebagai teras utama Wawasan 2020 kata beliau, sukar dicapai.
"Langkah radikal ke arah pembentukan Bangsa Malaysia" - Dr Mahathir
Bagi yang rasional, pandangan beliau pastinya disantuni dan dikaji. Bagi yang bebal dan cepat melenting, mulut menakal.
Rencah Bangsa Malaysia
Rakyat Malaysia selalu meyakinkan diri mereka bahawa negara ini aman dan stabil. Cukup bernasib baik. Tetapi itu sekarang. Masa depan belum tentu.
Kejayaan ini perlu diuruskan dengan baik. Bak kata ramai pemimpin, menguruskan kejayaan adalah sukar. Semuanya bergantung kepada kestabilan sosial.
Maka, falsafah Bangsa Malaysia ibarat tali kemudi yang mengikat semua bangsa dan etnik kepada satu identiti nasional dari Perlis sampailah ke Sabah.
Walau bagaimanapun, menurut Profesor Datuk Dr Mustafa Ishak dalam bukunya berjudul The Politics of Bangsa Malaysia, pertembungan identiti sering berlaku. Masyarakat pelbagai kaum menterjemah pemahaman mengenai Bangsa Malaysia mengikut karakter dan acuan kepentingan kaum masing-masing.
Bagi mengelak pertembungan itu, mungkin sudah tiba masanya ruang kompromi antara sesama insan di Malaysia mengenai pembinaan identiti bukan lagi mengenai bangsa tetapi nilai.
Setiap segmen masyarakat perlu bermuafakat meneroka nilai yang mendasari landskap masyarakat pelbagai kaum di negara ini sekaligus menjadikannya sebagai faktor yang dikongsi untuk mencorak identiti Bangsa Malaysia. Antaranya, nilai kesederhanaan. Moderat.
Jadi, sukarkah kita untuk membentuk identiti Bangsa Malaysia?
Moderat itu jenama Malaysia. Malaysia pula sentiasa bermoderat prinsipnya di pentas hubungan antarabangsa. Kerana moderat jugalah, ia menjadi ramuan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berunding dengan bekas ketua pemisah pro-Rusia, Alexander Borodai dalam hal berkaitan tragedi MH17 di timur Ukraine.
Tetapi dalam kita mencanang kejayaan gerakan kesederhanaan, ada juga rakyat Malaysia yang sudah menemui ajal sebagai pengebom berani mati.
Ekstremis. Ini nyata sesuatu yang bercanggah dan amat membimbangkan.
Apabila masyarakat teguh di bawah payung kesederhanaan, mereka akan jadi lebih rasional. Makin rasional sesebuah masyarakat, makin matang mereka berfikir dan bertindak. Ini pasti baik untuk kestabilan dalam negara.
Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jika di sini lahirnya sebuah cinta, maka, 57 tahun adalah tempoh masa yang cukup ranum untuk terus bersuai kenal hati budi dan berkeluarga sesama kita.
Moderat bukan bermaksud hanya berani mendiamkan diri.
Bersederhanalah.
-- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment