video dengan durasi 15 saat itu memperlihat kelibat Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang sedang menutup ruangan bagasi di dalam perut pesawat -Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Video yang dimuat naik menerusi laman sosial Instagram dengan kapsyen"Bismillah..#hatiadasikitgentar" menjadi simpanan anggota keluarga Allahyarhamah Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 37, pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang terlibat dalam nahas pesawat MH17.
Video itu dirakam dan dimuat naik menerusi laman sosial Instagram milik seorang penumpang pesawat MH17, Mohd Ali Mohd Salim sebelum pesawat itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas dan rakaman itu tersebar luas menerusi laman-laman sosial Internet.
Menurut sepupu Allahyarhamah Hamfazlin Sham, Roziawati Che Abdul Aziz, 32, video dengan durasi 15 saat itu memperlihat kelibat Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang sedang menutup ruangan bagasi di dalam perut pesawat.
Roziawati berkata video itu kini disimpan sebagai tatapan setiap kali beliau dan anggota keluarga lain merindui dan ingin melihat wajah Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang disifatkan sebagai seorang peramah.
"Walaupun hanya terlihat kelibat Allahyarhamah Hamfazlin sedang menjalankan tugasnya di dalam perut pesawat, tetapi video itu amat bermakna buat saya dan keluarga kerana sekurang-kurangnya kami dapat melihat wajahnya," katanya.
Roziawati berkata demikian kepada Bernama ketika dalam perjalanan menuju ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak, dekat sini pada Jumaat untuk upacara pengkebumian jenazah Allahyarhamah Hamfazlin Sham.
Sementara itu, adik bongsu Allahyarhamah Hamfazlin Sham, Hamnelly Sham, 34, berkata video itu menjadi bukti kukuh bahawa kakaknya adalah seorang daripada anak kapal yang terlibat dalam tragedi tersebut.
"Pada awal mendengar berita pesawat MH17 terhempas dan semua penumpang termasuk anak kapal terkorban, kami sekeluarga berharap agar Allahyarhamah Hamfazlin Sham tidak terlibat, tetapi setelah melihat video itu, kami menerima takdir bahawa Allah lebih sayangkan dia.
"Saya ada menyimpan video itu, meskipun hanya sekejap dapat melihat wajah kakak saya. Itu adalah kali terakhir saya melihat wajah beliau," katanya dalam nada sebak.
Jenazah Allahyarhamah Hamfazlin Sham adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi nahas MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang melalui penerbangan khas Malaysia Airlines dari Amsterdam, pada Jumaat.
Sehingga kini, 30 jenazah warga Malaysia - termasuk 20 yang dibawa pulang pada Jumaat- telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Amsterdam.
Pesawat MAS MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai dengan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. - Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment