Tuesday 19 August 2014

Jenazah 28 warga Malaysia dikenal pasti

Dua puluh lapan daripada 43 mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 warga Malaysia telah dikenal pasti setakat hari ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 15 merupakan penumpang manakala 13 yang lain adalah anak kapal.

Jumlah 28 jenazah ini melibatkan 14 orang Islam dan 14 lagi bukan Islam, katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada editor kanan media berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

"Untuk Jumaat ini, saya boleh sahkan jenazah yang terlibat adalah 15 (warga Malaysia) campur satu (warga Netherlands) akan dibawa pulang (ke Malaysia). Tetapi ada kemungkinan bertambah dan ini akan dapat disahkan esok," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata istiadat pada Jumaat ini merupakan istiadat pengebumian pertama yang dikelolakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan jenazah orang awam.

Beliau menjelaskan istiadat penghormatan seumpama itu biasanya diberikan hanya kepada pemimpin dan perwira negara.

"Istiadat ini memperlihatkan peranan ATM buat julung kalinya terlibat secara langsung dalam memberi penghormatan kepada rakyat biasa. Saya percaya kami dapat melakukan yang terbaik. Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dibuat," katanya.

Hishammuddin berkata orang ramai boleh mengambil bahagian dalam memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas MH17 secara bertafakur selama seminit.

Beliau menjangkakan waktu bertafakur dapat dilakukan antara 10.30 dan 11.30 pagi tetapi bergantung kepada kelancaran istiadat dan jumlah jenazah yang dibawa balik.

Sumber: Bernama, 19 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment