Thursday 7 August 2014

Empat suspek kes bunuh dua pelajar Britain diberkas

Empat suspek kes bunuh dua pelajar Britain diberkas - Polis Sarawak

KUCHING: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh dua pelajar warga Britain di Jalan Padungan di sini awal pagi ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung berkata tiga suspek diberkas kira-kira pukul 6 pagi ini dan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kes yang berlaku kira-kira pukul 4.15 pagi itu turut ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Fauzilan Abdul Aziz mengesahkan suspek keempat berumur 35 tahun berjaya diberkas di Kenyalang Park di sini kira-kira pukul 4.45 petang ini.

Bercakap dalam sidang media di sini, Chai berkata siasatan polis setakat ini mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah dan rompakan berkumpulan.

Menurutnya sebuah kereta jenis Perodua Viva yang digunakan keempat-empat suspek semasa kejadian itu turut dirampas.

Beliau berkata kes itu secara teknikalnya telah selesai ekoran penangkapan empat suspek berkenaan serta penemuan pisau dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kes bunuh itu.

Chai berkata polis juga telah memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari daripada mahkamah terhadap tiga daripada suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurutnya mangsa yang masing-masing berumur 22 dan 23 tahun, merupakan pelajar perubatan di sebuah universiti di Britain yang sedang menjalani latihan amali di sebuah hospital di sini dan dijangka menamatkan latihan berkenaan pada 8 Ogos.

Katanya identiti mangsa belum dapat didedahkan bagi menghormati anggota keluarga mereka yang mungkin belum dimaklumkan berkenaan kejadian itu.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa pergi ke sebuah kedai minuman di Jalan Abell, Padungan, untuk minum minuman keras sebelum bertengkar sesama sendiri.

Chai berkata seorang daripada suspek yang berada di kedai berkenaan telah menghampiri dan menegur mereka kerana berbuat bising dan ini telah menimbulkan perang mulut antara suspek itu dengan seorang daripada mangsa sebelum kedua-duanya beredar dari kedai berkenaan.

Kesemua suspek kemudian bertindak mengejar kedua-dua pelajar itu menggunakan kereta mereka sebelum seorang daripada suspek keluar daripada kenderaan itu sebelum menyerang kedua-dua mangsa menggunakan sebilah pisau, katanya.

Katanya Pasukan Forensik Polis yang tiba di tempat kejadian mendapati mayat mangsa pertama dalam keadaan tertiarap di atas jalan raya dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan dua lagi di bahagian belakangnya.

Mayat mangsa kedua pula ditemui kira-kira 20 meter dari mayat mangsa pertama dalam keadaan terlentang di kaki lima sebuah kedai dengan satu kesan tikaman di bahagian dadanya, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment