Friday, 29 August 2014

6,000 kakitangan MAS dihentikan di bawah pelan penstrukturan semula "MAS Baru"

Khazanah umum 12 langkah jayakan pelan pemulihan MAS

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula syarikat penerbangan negara Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) bakal meyaksikan syarikat bermasalah itu akan mengurangkan tenaga kerjanya dari 20 ribu kaki tangan kepada 14 ribu orang, pengurangan 30 peratus dari tenaga kerja sedia ada.

Dari 6,000 pekerja yang akan dihentikan perkhidmatan mereka, 3,500 daripadanya akan ditawarkan pekerjaan di bawah anak-anak syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sementara selebihnya akan ditawarkan Skim Perpisahan Sukarela (VSS).

Antara perkara paling utama dalam pelan pengstrukturan semula 12 perkara yang diumumkan oleh Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mohktar hari ini adalah penubuhan syarikat baru (NewCo) dimana akan menjadi ‘rumah’ baru buat syarikat ‘MAS’ lama dengan perpindahan 14,000 kakitangan. Proses perpindahan itu yang termasuk operasi, aset dan liabiliti dari “MAS lama”(OldCo) kepada NewCo akan disempurnakan menjelang 1 Julai tahun 2015.

Syarikat NewCo mensasarkan untuk kembali meraih keuntungan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh OldCo dinyahsenarai yang disasarkan akan berlangsung akhir tahun ini. NewCo akan menyaksikan perubahan kepada model perniagaan untuk mengambil kira struktur kos operasi yang lebih rendah selain melihat penjimatan dari usaha rundingan semula dan kontrak pembekalan termasuk pelaksanaan kos buruh yang akan kembali mengfokuskan kepada laluan serantau yang lebih menguntungkan berbanding kepada laluan jarak jauh yang tidak menguntungkan.

Di bawah pelan terbabit yang akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, Khazanah akan memperuntukkan RM6 bilion dalam bentuk dana pelaburan kepada NewCo secara berperingkat-peringkat dan syarat yang lebih ketat untuk tempoh tiga tahun.

NewCo juga mensasarkan untuk kembali menyenaraikan kembali MAS dalam tempoh tiga sehingga lima tahun, iaitu dianggarkan dapat dicapai pada akhir 2017 sehingga akhir 2019.

Dari segi kepimpinan syarikat pula, Ahmad Jauhari Yahya akan terus menerajui syarikat OldCo sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sewaktu tempoh peralihan selama 10 bulan sehingga 1 Julai 2015, tarikh dimana NewCo disasarkan untuk mula beroperasi.

Turut diumumkan, lembaga pengarah OldCo akan tetap beroperasi seperti biasa sehingga satu tempoh yang akan dimumkan kelak.

Khazanah juga akan mula mencari individu yang bakal mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif NewCo dengan calon-calon akan dipilih dari bakat tempatan dan antarabangsa yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbangan global. Pengumuman mengenainya dijangka dibuat menjelang akhir tahun ini.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment