Thursday 17 July 2014

Yer ker? Alza advanced undang cemburu?

Alza advanced undang cemburu

MODEL baharu Alza Advanced dilancarkan awal tahun ini. Bagi yang berminat dengan model keluaran Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) ini, pastinya sedia maklum ciri-ciri baharu ditampilkan.

Walaupun dilengkapi dengan ciri baharu, harga ditawarkan lebih rendah. Pasti mengundang cemburu pemilik Alza terdahulu. 

Saya berpeluang memandu ujinya baru-baru ini. Melihat luarannya, seperti 'adik-beradik' Myvi. Cuma saiznya panjang sedikit. Terdapat perubahan pada bahagian hadapan dengan gril berwarna krom sekeliling lambang Perodua.

Lampu kabus diangkat ke atas sedikit dan dilarikan ke hujung tepi bampar menyerlahkan pesona Alza. Bahagian belakang turut berubah dengan adanya lampu ‘Clear Lens Tail’, spoiler lebih aerodinamik dan warna hitam menghiasi keliling cermin belakangnya.

Bampar depan dan belakang boleh dikatakan lebih sporty dengan skirting . 

Ia turut mempunyai cermin sisi boleh dilipat secara automatik. Itu yang tiada pada Alza Advance sebelum ini. Menjengah kabin, tempat duduknya dibaluti kulit.

Satu lagi perbezaan ketara diketengahkan dalam jentera MPV baharu ini, set multimedia rekaan baru dengan LCD sesentuh 6.5 inci. Seperti model terdahulu, ia juga mempunyai USB, SD card dan pemain DVD.

Begitu juga dengan GPS, kamera pandang belakang dengan Bluetooth, FM/AM disambungkan kepada monitor di sebelah atas yang bersaiz kira-kira lapan inci. Ia satu penambahan aksesori yang agak menarik.

Ia masih mengekalkan penggunaan kunci selain tanpa sistem keyless, namun bukan isu besar. Manakala butang kawalan audio memudahkan pemandu.

Sistem navigasi dengan kamera pandang belakang, memberi lebih keyakinan kepada saya semasa mahu mengundur. Apa lagi saya mendapat unit pandu uji varian automatik. 

Tidak bosan

Memandu sebuah MPV, saya menuju ke Kuantan, Pahang. Perjalanan jauh tidak membosankan bagi dua dewasa dan tiga anak kecil yang turut serta. Ia dibantu dengan skrin multimedia yang disediakan. Anak kecil dapat menonton siri kartun kegemaran mereka.

Jika tidak, mereka mungkin bosan atau bermain di ruang kabin yang agak luas jika dibandingkan kereta biasa.

Perodua memang menitikberatkan keselamatan. Jika hendak menonton DVD atau CD, jentera ini perlu berhenti dahulu. Terpapar amaran keselamatan di skrin jika DVD dipasang ketika kenderaan bergerak. 

Untuk mendapatkan paparan gambar dan suara pada skrin secara automatik, saya hanya perlu menekan brek kaki.

Ciri tambahan lain pula ialah tempat letak tangan pemandu mempunyai ruang untuk menyimpan barang yang boleh dinaik dan diturunkan.

Alza Advanced sebelumnya tiada ciri itu.

Alza juga memudahkan pemilik apabila kerusi barisan ketiga boleh dilipatkan menjadi satu. Ia memudahkan mencapai barangan.

Saya juga gemarkan kerusi hadapan yang bersambung dengan tempat duduk bersebelahan. Seperti dalam teksi sapu dulu-dulu. Rasa lebih merapatkan hubungan dengan orang di sebelah. 

Mengulas tentang prestasi Alza yang dijana enjin 1.5 liter ini cukup tidak mengecewakan.

Tidak sukar memintas kenderaan di hadapan dengan daya pecutan ditawarkan, biarpun perlu lebih menekan pedal. Cuma akan kedengaran sedikit ngauman enjin di dalam kabin.

Namun tiada masalah memandunya dalam keadaan lebih santai.

Ketika di lebuh raya pada kelajuan 140 kilometer sejam, dapat dirasakan kehadiran olengan badan dan sedikit gegaran. Mungkin kerana badannya agak ringan dan posisinya sebagai MPV.
Walaupun sebagai sebuah jentera keluarga, Alza mudah melalui laluan kecil sesuai tugasnya sebagai MPV kompak.

Suspensi juga menjalankan tugas dengan sempurna yang mana menyerap hentakan pada jalan berlubang dengan baik.

Perjalanan jauh bersama Alza cukup selesa begitu juga bagi penumpang belakang. Cuma ketiadaan pendingin hawa di kerusi ketiga membuatkan penumpang sedikit panas di awal pemanduan sebelum rasa dingin tiba ke barisan belakang.

Bagi saya jentera ini sesuai bagi mereka yang mempunyai keluarga kecil untuk kegunaan jangka panjang ditambah ditawarkan pada harga berpatutan.

No comments:

Post a Comment