Thursday 17 July 2014

Bot karam: Tiga mayat dijumpai

Aminuddin
Aminuddin

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hari ini, menemui tiga lagi mayat pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sebelum ini, hilang selepas bot pancung dinaiki karam, 15 Julai lalu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 6 Wilayah Selatan, Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua mayat itu ditemui pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) antara pukul 2 hingga 9 pagi tadi.

"Sekitar jam 2 pagi, satu mayat lelaki dijumpai di perairan Tanjung Piai oleh polis bantuan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

"Operasi diteruskan jam 7 pagi dan sekitar jam 8 pagi, satu mayat lelaki dijumpai di perairan berkenaan oleh polis bantuan PTP disusuli penemuan satu mayat lagi satu jam kemudian oleh Maritim," katanya, di sini, hari ini.

Operasi SAR untuk hari ini, diteruskan untuk mencari baki empat lagi mayat melibatkan dua bot Maritim, bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (tujuh), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (lima), Pasukan Polis Marin (satu), polis bantuan PTP (satu) dengan kekuatan lebih 100 anggota dan pegawai.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan hasrat 70 Pati dan dua tekong pulang beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila bot pancung dinaiki yang dalam perjalanan ke Batam, Indonesia karam di perairan Tanjung Piai.

Kejadian jam kira-kira 11.40 malam yang mengorbankan dua nyawa itu dipercayai berlaku apabila bot terbabit berlanggar dengan bot milik Maritim.

Pada Selasa lalu, seramai 63 pati melibatkan 51 lelaki dan 10 wanita warga Indonesia ditemui dan kesemuanya berumur 20 hingga 50 tahun, sementara sembilan masih hilang.

Dua mayat kemudiannya ditemui, semalam, terapung kira-kira 3.5 batu nautika dari Selatan Tanjung Piai kira-kira jam 4.29 petang selepas mendapat maklumat daripada kapal yang bersauh di lokasi berhampiran. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment