Tuesday 24 June 2014

Wartawan paling tua berusia 89 tahun bertugas di Piala Dunia 2014

Hiroshi Kagawa. Foto Japan Soccer Archive


KUALA LUMPUR: Biarpun wajah sudah dimakan usia dan uban-uban memenuhi rambutnya, namun di sebalik kaca matanya tebal itu, matanya masih tetap ligat dan bersemangat menyaksikan perlawanan sambil tangannya lincah menulis ulasan di atas kertas.

Itulah Hiroshi Kagawa, 89 tahun dan berasal dari Jepun yang menjadi wartawan tertua yang turun padang untuk melakukan liputan di Piala Dunia 2014 di Brazil. 

"Kali pertama saya ditugaskan untuk melakukan liputan adalah di Stadium Olimpik Munich, di Piala Dunia 1974.Masih segar di dalam ingatan saya Johan Cruyff yang serba oren dan Franz Beckenbauer pula mengenakan jersi putih. Saya sangat berkobar-kobar ketika itu," kata Kagawa.

Piala Dunia 1974 adalah merupakan kali pertama Kagawa ditugaskan sebagai seorang wartawan. Sudah sembilan kali berturut-turut melakukan liputan Piala Dunia. Sempat untuk berehat pada Piala Dunia 2010 atas sebab kesihatan yang tidak mengizinkan, dan kini kembali melakukan liputan Piala Dunia 2014 yang merupakan liputan Piala Dunia ke 10 baginya.

Dilahirkan di Kobe, Jepun pada tahun 1942, Kagawa juga adalah seorang pemain bola sepak yang sempat untuk berbakti di dalam Jabatan Ketenteraan Jepun pada tahun 1944, setelah berakhirnya Perang Dunia II. Menurut laporan daripada Kompas.com, Kagawa juga sempat dilatih oleh pihak ketenteraan Jepun untuk menjadi seorang juruterbang Kamikaze.

"Saya bertuah kerana boleh melarikan diri daripada menjadi seorang tentera," katanya.

Selepas peristiwa pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki, Kagawa kembali berkecimpung di dalam dunia bola sepak dengan keyakinan dan harapan bahawa bola sepak mampu untuk menyembuhkan Jepun yang sudah hancur ketika itu.

"Aura bola sepak yang positif mampu membantu Jepun. Saya ingin Jepun bergabung dengan pasukan-pasukan dari negara lain dan menjadi sebahagian daripada dunia yang lebih besar daripada bola sepak," ujar Kagawa.

Demi mewujudkan keinginan itu, Kagawa yang juga merupakan Ketua Pengarang Sankei Sports mengakui ianya tidak mudah.

Pasca Perang Dunia II, Jepun didominasi dengan sukan besbol yang diimport dari Amerika Syarikat.

"Jumlah peminat bola sepak sangat rendah. Tidak seperti besbol dan ragbi. Ramai yang masih percaya bahawa orang Jepun terlalu kecil untuk bermain bola sepak. Tanggapan itu masih kuat," katanya.

Kagawa mencapai puncak kariernya apabila ketika melakukan liputan Piala Dunia pertamanya dia Jerman Barat pada 1974. Menurutnya lagi, puncak kariernya itu juga adalah langkah pertama perjalanan untuk melunaskan keinginannya.

Hasil titik peluh penulisan Kagawa akhirnya berjaya membuka pintu untuk sukan bola sepak bertapak di Jepun.

Detik yang paling membanggakan bagi dirinya adalah bila Jepun akhirnya berjaya ke Piala Dunia 1998. "Rasa bangga di dalam diri saya tidak dapat saya gambarkan," kenang Kagawa.

Impian kagawa untuk melihat Jepun sebagai salah satu kuasa besar di dalam sukan bola sepak telah menjadi kenyataan.

Dan kini, Kagawa melihat Jepun sebagai sebutir permata Asia di dalam dunia bola sepak.

Piala Dunia 2014 menyaksikan Jepun berada di dalam kumpulan C bersama Colombia, Ivory Coast dan Greece dan kini, Jepun berada di tempat ketiga dengan satu mata berbaki satu perlawanan.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment