Tuesday 24 June 2014

Pelajar terjun bangunan selepas hilang pertaruhan Piala Dunia

China mempunyai jutaan peminat sukan bola sepak - Gambar Hiasan

BEIJING: Seorang pelajar kolej di China dilaporkan bertindak membunuh diri dengan bertindak terjun dari bangunan selepas dikatakan hilang wang pertaruhan US$3,000 (RM9,600) ketika berjudi perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Pelajar tahun dua bernama Lin itu terjun dari tingkat tujuh bangunan kampus menurut laporan akhbar Information Times yang memetik kenyataan seorang saksi.

“Saya mendengar dia berkata ‘jangan paksa saya’ dan ‘beri saya dua hari lagi dan saya akan pulangkan wang anda,” kata laporan itu yang memetik kata-kta saksi.

“Dia (Lin) bercakap di telefon lebih dari 10 minit. Saya lihat dia meletak telefon dan bingkas bangun. Kemudiannya menghilang,” kata saksi.

Lin telah dikejarkan ke sebuah hospital di Panyu dalam wilayah Guangdong, namun doktor gagal menyelamatkannya, lapor akhbar itu lagi.

Seorang lagi pelajar yang juga rakan sekelas Lin mendakwa Lin kehilangan hampir 20,000 yuan dalam beberapa pertaruhan perlawanan piala dunia.

“Kami dengar Lin meminjam sejumlah besar wang, dan faedahnya tinggi,” kata pelajar itu.

Namun tidak dinyatakan pasukan manakah yang menjadi pilihan Lin ketika bertaruh.

China mempunyai jutaan peminat sukan bola sepak, baik dari kumpulan peminat tegar mahupun kumpulan penjudi.

Jualan loteri Piala Dunia kerajaan telah mencecah empat bilion yuan sehingga Sabtu lalu, jumlah yang melonjak dari kejohanan Piala Dunia sebelum ini.

Jumlah keseluruhan dijangka mencecah 10 bilion yuan menjelang kemuncak kejohanan.

Agensi

No comments:

Post a Comment