Tuesday 10 June 2014

Ibu menderita selepas disuntik

Ibu Zulkurnain kini menderita kesakitan selepas tangan kirinya bernanah akibat jangkitan kuman selepas menerima suntikan.
Ibu Zulkurnain kini menderita kesakitan selepas tangan kirinya bernanah akibat jangkitan kuman selepas menerima suntikan.

IPOH – Harap kesihatan ibu pulih tetapi sebaliknya berlaku.

Rasa kesal membelenggu seorang anak selepas ibu yang dihantar ke sebuah hospital di sini untuk mendapatkan rawatan susulan selepas mengadu lemah badan kini merana kesakitan selepas tangan kirinya dijangkiti kuman sehingga terpaksa dipotong tiga jari.

"Kesakitan menjelma semuanya selepas menerima suntikan daripada seorang doktor!" Itu luahan kesal Zulkurnain Jamal Hatun, 33 ketika ditemui Sinar Harian.

Zulkurnain mendakwa, ibunya, Zainap Mat Ghani, 72, kini kesakitan akibat mengalami luka serius di tangan kiri sejurus menerima beberapa suntikan daripada seorang doktor yang merawatnya, 20 Mei lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga membawa ibu mereka mendapatkan rawatan setelah mengadu berasa lemah dan pernah pitam beberapa hari sebelum dibawa ke wad kecemasan.

“Doktor di unit kecemasan memberitahu bahawa ibu saya mengalami kekurangan garam dan kemungkinan dia menghidap penyakit kencing manis serta buah pinggang. Oleh sebab itu dia dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Beberapa suntikan kemudiannya diberikan dan kami beranggapan ianya mungkin satu prosedur biasa. Namun sehari selepas suntikan, tangan kirinya mula menunjukkan kesan sampingan seperti mengalami luka dan bengkak selain lebam-lebam hitam,” katanya.

Zulkurnain berkata, dia hairan kerana hanya bahagian yang disuntik sahaja mengalami perubahan malah luka yang menampakkan isi daging itu mula bernanah beberapa hari kemudian.

Katanya, pihak hospital gagal memberikan penjelasan punca luka serius itu, sebaliknya seorang doktor pakar tulang pula dihantar bagi merawat ibunya.

“Doktor itu kemudiannya membuatkan keputusan untuk menjalankan pembedahan pada Isnin lalu, namun beberapa hari selepas pembedahan itu selesai, ia dilihat semakin serius dan kritikal. 

“Malah, kami hairan mengapa bahagian luka bernanah tidak dibuang sepenuhnya. Lebih memilukan, doktor turut mengatakan ketiga-tiga jari kiri ibu kami juga terpaksa dipotong,” katanya.

Dalam pada itu, abangnya, Mohd Zamadha Jamal Hartun, 37, berkata satu laporan polis sudah dibuat pada 28 Mei lalu di Balai Polis Sungai Senam, di sini bagi menyiasat sekiranya ada berlaku kecuaian oleh doktor yang merawat ibunya.

“Satu surat aduan sudah pun dihantar ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak bagi siasatan lanjut.

“Saya berharap ada pihak yang prihatin terhadap masalah dialami ibu kami. Kami bukan datang dari orang senang, itu saja pusat rawatan yang kami mampu untuk menampung perbelanjaan rawatan pembedahan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JKN mengesahkan laporan dan pihaknya sudah menjalankan siasatan lanjut.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment