Friday 13 June 2014

Hantu Nan Sempit catat peningkatan luar biasa

Sedutan adegan lakonan Soffi Jikan dan Jue Aziz dalam filem Hantu Nan Sempit. - Foto oleh produksi Hantu Nan Sempit.
Sedutan adegan lakonan Soffi Jikan dan Jue Aziz dalam filem Hantu Nan Sempit. - Foto oleh produksi Hantu Nan Sempit.


FILEM terbaru pengarah terkenal, Ahmad Idham Hantu Nan Sempit berjaya mencatat peningkatan luar biasa pengunjung pada hari ketujuh tayangannya, semalam.

Menurut Idham, filem itu mencatat lebih 10,000 kemasukan pada hari biasa bukan kelazimannya pada hujung minggu.

"Semenjak ditayangkan 5 Jun lalu, Hantu Nan Sempit, mencatat lebih 10,000 kemasukan, pada hari Rabu (11 Jun). Ia merupakan satu peningkatan luar biasa mencatat sejarah tersendiri buat pasukan produksi. Biasanya, kemasukan penonton adalah tinggi pada hari Sabtu dan Ahad.

"Saya melihat situasi ini agak luar biasa tapi saya yakin, ianya berlaku apabila ramai penonton yang telah menonton filem ini, cukup menyukainya, dan mula memberitahu kepada kawan-kawan yang lain. Ini merupakan pemasaran 'mulut ke mulut' yang merupakan satu faktor 'domino' cukup penting bagimemastikan kejayaan sesebuah filem," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah menurut Idham, sambutan menggalakkan daripada penonton ini disifatkan sebagai penyuntik semangat kepada industri yang suram sejak kebelakangan ini.

"Saya bersyukur atas sambutan filem ini di pawagam. Tambahan pula, dalam keadaan industri filem Melayu kita yang agak suram, Hantu Nan Sempit, sedikit sebanyak berjaya menceriakan industri ini.

"Banyak faktor yang mendorong kejayaan filem ini, termasuklah barisan pelakon juga unsur komedi yang ringan dan menghiburkan. Ianya juga ada kritikan sosial yang jelas, di sebalik kisah aksi motor yang dipaparkan," katanya.

Hantu Nan Sempit dibintangi beberapa pelakon terkenal seperti Hazama Azmi, Jue Aziz, Erin Malek dan Soffi Jikan.

Setakat hari ini, filem tersebut telah mencatat kutipan lebih RM500,000.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment