Friday 2 May 2014

Perkhidmatan Pusat Bantuan Keluarga MH370 ditamatkan pada 7 Mei - MAS

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya. --Gambar fail


KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan bahawa perkhidmatan Pusat Bantuan Keluarga untuk penumpang dan anak kapal pesawat MH370 ditutup pada 7 Mei.

Ahli keluarga penumpang yang ditempatkan di hotel-hotel terpilih telah dinasihatkan untuk pulang ke rumah masing-masing.

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya berkata pihak MAS akan terus menyalurkan maklumat mengenai usaha pencarian MH370 kepada ahli keluarga melalui hubungan telefon, email, internet atau secara bersemuka.

“Bersama bantuan kerajaan Pusat Bantuan Keluarga ini akan diwujudkan di ibu negara dan juga Beijing.

Butiran mengenai rancangan tersebut akan dimaklumkan secara terus kepada ahli keluarga” kata Ahmad Jauhari dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Ahmad Jauhari turut memaklumkan bahawa MAS akan membayar wang pampasan dengan segera kepada ahli keluarga yang telah dikenal pasti bagi memenuhi tuntutan ekonomi mereka.

“Wang pendahuluan tersebut tidak akan menjejaskan hak tuntutan wang pampasan mengikut undang-undang oleh pihak keluarga dan ia akan dikira sebagai sebahagian daripada wang pampasan akhir” katanya lagi.

Pihak MAS juga akan menghubungi ahli keluarga sebaik sahaja mereka tiba di kediaman masing-masing untuk memulakan proses pembayaran wang tersebut.

Sudah masuk 55 hari misi pencarian pesawat MH370 dilakukan dan misi tersebut telah disokong oleh lebih dari 20 buah negara yang melibatkan pelbagai pakar dan pesawat canggih.

Sebelum ini, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia telah memaklumkan operasi pencarian di Selatan Lautan Hindi belum berakhir dan akan memasuki kepada fasa baru.

Di dalam fasa baru itu, kerajaan Malaysia bersama Australia, China serta rakan kongsi antarabangsa yang lain bercadang untuk mengukuhkan carian dasar laut dengan menggerakkan lebih banyak aset berteknologi tinggi ke kawasan zon carian.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment