Friday 2 May 2014

Bantah atau tidak, kerajaan tetap laksanakan GST - Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. --gambar fail


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan tetap melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 meskipun mendapat bantahan dari sesetengah pihak, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, ini kerana kerajaan sudah hampir 30 tahun membuat persiapan bagi tujuan itu.

Sambil menyifatkan perhimpunan membantah CBP sebagai tidak wajar, Ahmad berkata penganjur perhimpunan seharusnya menggunakan pendekatan lebih baik untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Mereka sepatutnya mengemukakan memorandum berhubung perkara itu, ini (bantahan) hanya bertujuan untuk mempolitikkan segala perkara baik yang kerajaan mahu laksanakan", katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

CBP yang dikenakan pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan dikecualikan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak.

Barangan dan perkhidmatan lain yang turut dikecualikan ialah perkhidmatan kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen dan perkhidmatan kesihatan.

Ahmad Maslan berkata CBP bukan perkara baharu, malah 90 peratus penduduk dunia berada dalam negara yang telah mengamalkannya.

Kadar CBP yang bakal dikenakan juga adalah antara yang terendah dalam dunia, katanya.

"Prinsip yang perlu semua fahami adalah cukai itu diproses daripada rakyat dan dikembalikan semula kepada rakyat untuk tujuan pembangunan sosial dan ekonomi mereka.

"Kerajaan tak simpan duit itu kerana kita akan kembalikan kepada rakyat melalui bajet tahunan", katanya.

Terdahulu Ahmad menyampaikan cek contoh bernilai RM750,000 oleh Bank Simpanan Malaysia (BSN) selaku penganjur utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

Bernama 

No comments:

Post a Comment