Thursday, 15 May 2014

Neelofa bakal berhijrah?

Neelofa

Neelofa

BIARPUN sesetengah pandangan masyarakat melabel pelakon ini tidak layak bercakap mengenai agama atau terlibat menjadi artis panel jemputan dalam forum agama, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus melibatkan diri dalam majlis ilmu atau keagamaan.

Tidak mempedulikan cakap-cakap orang, pemilik nama Nor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra dipanggil Neelofa ini akan lebih mendekatkan diri dengan majlis keagamaan kerana jiwanya sangat menyukai perkara-perkara yang mendatangkan kesan positif dalam diri.

“Saya suka dengar ceramah dari dulu lagi. Malah sejak mempunyai rakan-rakan yang suka ke arah itu, saya lebih kerap pergi ke majlis ilmu bersama mereka. Saya tahu ada yang akan menilai saya sebab itulah saya tak suka hebahkan kepada umum yang saya pergi ke majlis-majlis sebegini kerana merasakan ia tidak perlu.

“Cuma kebelakangan ini sahaja beberapa teman ‘posting’ gambar-gambar saya di Instagram membuatkan ramai yang menilai saya,” katanya.

Menurut Neelofa, dia tidak akan membuat sesuatu di luar bidang kuasanya dan akan terus menerus menimba ilmu agama secara berterusan.

“Saya dijemput sebagai panel di forum tersebut bukanlah untuk memberikan pendapat mengenai agama. Namun, ia berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi. Lagipun, saya tahu saya memang belum arif tentang agama jadi memang saya takkan berikan pandangan saya dalam hal keagamaan,” katanya.

Ketika ditebak mengenai dirinya mengenai pemakaian hijab, Neelofa berkata, semua orang memang ingin berubah ke arah kebaikan, begitu juga dirinya.

“Memang semua orang akan berfikir begitu, termasuk juga saya. Namun, saya akan usahakan sedikit demi sedikit sehingga saya benar-benar bersedia untuk berhijab,” katanya yang tidak menolak untuk bertudung satu hari nanti.



Hans bukan calon


Tentu ramai sahaja yang semakin tertanya-tanya adakah benar pelakon dan pengacara kacukan Melayu-Arab ini sedang hangat bercinta dengan aktor, Hans Isaac.

Malah, sejak aktres filem Lemak Kampung Santan ini mula mendedahkan pengarah kacakm itu seorang yang setia dalam percintaan, lebih ramai peminatnya mempercayai pelakon yang mempunyai pakej lengkap dan aura tersendiri ini mempunyai hubungan dengan jejaka kacukan Sepanyol dan Serani itu.

Diusik mengenai perkara itu, Neelofa berkata, setakat ini hubungan mereka memang sangat baik, malah dia juga merupakan antara orang yang paling rapat di sisi Hans.

Namun, menurutnya dia sekarang ini tidak memikirkan lagi soal jodoh kerana meletakkan keutamaannya kepada kerjaya dan keluarga.

“Saya memang berkawan baik dengannya. Tapi jika tanya saya mengenai persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan, saya masih tidak memikirkannya,” katanya yang tidak meletakkan meletakkan syarat tertentu dalam soal cinta dan jodoh.

Namun, namun Neelofa mengakui ingin calon pilihannya nanti mendapat restu daripada orang tua serta keluarganya.

Bahkan, anak ketiga daripada sepuluh beradik yang sering saja menjadi perhatian lelaki ini lebih selesa berkawan dengan lelaki yang lebih matang.

Menurut pelakon ini, umur bukan penentu seseorang itu untuk melangkah ke fasa seterusnya, namun dirinya perlu lebih matang sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Sekarang ni fokus saya nak majukan diri saya dan capai cita-cita sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya.


Tak tuju sesiapa


Sebut sahaja tentang perang selebriti tentu sahaja ramai yang berpandangan pelakon drama Kau Yang Terindah ini turut terjebak dalam perkara sedemikian.

Enggan menuding jari atau mengulas tentang sesiapa, Neelofa lebih suka pembaca atau masyarakat berfikir sendiri tanpa mengulas sesuatu isu itu menjadi semakin berpanjangan antara dia dengan seorang artis kontroversi.

“Apa yang saya sampaikan melalui nota saya adalah berkaitan pendapat saya mengenai isu semasa dan ia adalah secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa,” katanya merujuk kepada ruangan kolum tulisannya di salah satu akhbar tempatan itu.

Menurut Neelofa, sekiranya ramai yang tidak bersetuju atau bersetuju dengannya itu terpulang kepada penilaian masing masing.

“Ada yang bersetuju dan ada yang tidak, saya hanya menulis melalui pengalaman dan pemerhatian saya. Saya dipertanggungjawabkan untuk memberikan apa sahaja pandangan saya melalui kolum sendiri dan jika ada yang tidak setuju atau terasa itu
hak mereka,” katanya.

Biarpun ada yang membenci dan membuat penilaian sendiri melalui blog dan laman sosial di Internet, Neelofa lebih senang mengabaikan tulisan-tulisan negatif tentang dirinya itu.


Nanti bulan Ramadan


Menjelangnya Ramadan tahun ini, ternyata Neelofa lebih menantikan kehadiran bulan mulia bagi umat Islam itu berbanding tawaran lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada ibadah puasa.

Menyentuh tentang karier seninya, Neelofa mengakui ada menerima tawaran filem, tetapi masih memikirkannya.

Pengacara Meletop ini juga memberitahu, dia terpaksa memilih tawaran kerja kerana mahu mengosongkan jadualnya pada bulan puasa bagi memastikan dirinya dapat menumpukan ibadah dalam bulan Ramadan.

“Tahun lepas, saya dah rasa bagaimana menjalani penggambaran pada Ramadan. Kali ini, saya sebenarnya takut penggambaran tu jatuh pada bulan puasa lagi sebab sebolehnya saya mahu kosongkan jadual pada bulan puasa,” katanya.

Dalam pada itu, seperti selebriti lain, aktres berusia 24 tahun ini juga telah berjinak-jinak dengan bidang perniagaan dan giat mengusahakan perniagaan tudung, telekung dan kanta lekap yang diceburinya.

“Alhamdulillah, tudung yang saya bekalkan dari Labenon iaitu Bokitta, mendapat sambutan dan kini saya baru lancarkan perniagaan ini secara online.

“Selain itu, sekarang saya dalam perancangan beli kain untuk jahit telekung,” katanya.

-- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment