Sunday, 20 April 2014

Tolak spekulasi pesawat terhempas tanpa serpihan

Pencarian diteruskan, mungkin tambah aset
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) pada sidang media semalam. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak spekulasi berhubung kemungkinan pesawat MH370 terhempas di laut tanpa meninggalkan serpihan kapal terbang.

Menurutnya, pasukan mencari dan pasukan penyiasat masih menjalankan usaha bagi mengesan sebarang bukti atau objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat tersebut.

"Dalam fasa ini, pencarian pesawat MH370 akan diperluas dan diperinci bagi memperkasakan usaha mencari MH370.

"Dari segi bilangan dan penambahan aset, pasukan teknikal dan siasatan akan mendrafkan usul untuk dibawa ke Kabinet pada minggu hadapan," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan rasmi tentang panggilan telefon yang dibuat dari pesawat MH370.

"Siasatan berhubung kehilangan MH370 masih diteruskan, pasukan siasatan sentiasa bekerjasama dalam perkongsian maklumat pesawat tersebut dengan kerajaan," katanya lagi.

--Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment