Sunday, 20 April 2014

Gurauan kematian jadi kenyataan

Gurauan kematian jadi kenyataan
Mendiang Michael diusung memasuki van untuk dibawa ke KLIA sebelum dihantar pulang ke kampung halamannya di India.


IPOH - Gurauan mengenai mati bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh Ram Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius Jayakrishnan, 39, di pejabatnya Rabu lalu adalah gurauan terakhir mereka sebelum kedua-duanya maut dalam kemalangan keesokan harinya.

Anak tunggal perempuan mendiang Karpal, Sangeet Kaur Deo, berkata, dia mendengar cerita tersebut daripada pekerja bapanya yang kebetulan mendengar gurauan itu.

Menurutnya, Michael amat disenangi dan seorang yang periang dan ceria yang suka berjenaka.

Sangeet berkata, bapanya sangat rapat dengan Michael dan mereka selalu bergurau di dalam pejabat bersama.

“Pada pagi Rabu lalu, bapa saya sempat bergurau dengan Michael, (berbunyi) "tanpa Michael saya akan mati" dan Michael pula membalas, "tanpa bos saya akan mati".

“Pada ketika itu, hanya pekerja yang berada di pejabat mendengar gurauan dan melihat mereka dalam keadaan ceria,” katanya yang tidak berada di pejabat pada waktu itu.

Anak keempat daripada lima adik beradik itu ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ketika menuntut mayat Micheal untuk dibawa pulang ke India.

Turut kelihatan, anak ketiga Karpal yang turut terbabit dalam kemalangan Khamis lalu, Ramkarpal Singh dan anak bongsunya, Man Karpal Singh.

Selain itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Michael yang dianggap sangat setia dan jujur terhadap Karpal sepanjang berkhidmat sebagai pembantu peribadi sejak sembilan tahun lalu.

Upacara keagamaan turut diadakan selama 20 minit sebelum Michael dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Vellore, Tamil Nadu, India menaiki pesawat MH180 yang berlepas jam 10 malam semalam.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

Dalam kejadian pagi Khamis lalu, MPV jenis Toyota Alphard hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori dan meragut nyawa Karpal dan Michael.

Kemalangan itu, turut menyebabkan pembantu Indonesia, Selfiana Rengga, 26, cedera parah dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB, di sini.

Kejadian di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan berlaku, ketika mendiang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

-- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment