AMPANG - Hasrat penganggur yang ingin berkahwin Ogos depan tidak kesampaian apabila dia dihukum penjara 31 tahun enam bulan dan 30 kali sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan melakukan kesalahan pecah rumah mengakibatkan kerugian RM174,200, sejak tiga tahun lalu.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman mengarahkan Norman Shah Jamal, 24, menjalani hukuman penjara tersebut mulai hari ini.
Sejurus prosiding tamat, tunang kepada tertuduh meraung manakala lelaki itu dilihat membentak dengan hukuman tersebut, " Saya nak hukuman serentak!".
Namun majistret menasihatkan Norman Shah mengemukakan rayuan sekiranya tidak berpuas hati.
"Saya harap hukuman ini mampu memberi pengajaran kepada awak agar tidak mengulangi kesalahan pada masa depan," katanya.
Lelaki itu didakwa melakukan 14 kesalahan tersebut di sekitar daerah Ampang antara 11 Mac 2011 dan 20 Mac 2014 dengan mencuri pelbagai barang kemas dan gajet elektronik seperti jam tangan, telefon pintar, laptop dan wang tunai.
Bagi kesalahan itu Norman berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan juga denda manakala mencuri boleh dipenjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa atas satu tuduhan cuba melakukan pecah rumah di Kampung Tasek Permai di sini pada pukul 5.45 pagi 26 November 2013 dan berhadapan hukuman penjara tiga tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 453 dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.
Manakala bagi tuduhan terakhir Norman didakwa mengikut Seksyen 457 kanun sama kerana memecah masuk sebuah rumah dan bersembunyi di situ, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikurangkan hukuman kerana dia perlu menjaga dua orang adik memandangkan ibu bapa yang telah bercerai.
"Saya baru bertunang dan akan berkahwin pada Ogos atau September depan. Saya minta agar hukuman berjalan serentak.
"Kalau saya tahu akan jadi macam ni saya pun tak akan buat kesalahan," katanya yang kelihatan sebak di kandang pesalah.
Tambah tertuduh, dia terpaksa melakukan kesalahan itu kerana kesempitan hidup ditambah pula perlu menanggung dua adiknya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene berhujah tertuduh mempunyai rekod lampau sejak 2008 hingga 2010 atas kesalahan sama.
"Ini menunjukkan tertuduh tidak pernah serik untuk melakukan jenayah, dan hukuman yang dikenakan ini untuk menghalang tertuduh mengulangi kesalahan.
"Semua mangsa juga mengalami kerugian kerana barang-barang curian tidak lagi dapat dipulangkan," katanya.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya S. Purnima yang turut sama mengendalikan kes tersebut berkata, Norman Shah merupakan pesalah tegar yang tidak pernah serik berikutan kesalahan yang dilakukan adalah dalam masa yang terdekat.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment