Saturday, 26 April 2014

Anggota keluarga MH370 tahan kakitangan MAS di Beijing

Anggota keluarga penumpang pesawat MH370. -Gambar Fail


SUBANG: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa kakitangannya ditahan di sebuah dewan utama di Lido Hotel di Beijing oleh anggota keluarga Penerbangan MH370 semasa mereka melahirkan rasa tidak puas hati untuk mendapatkan butiran berhubung kehilangan pesawat itu, pada 3 petang 24 April.

Dalam satu kenyataan hari ini MAS berkata lebih 200 anggota keluarga meminta seorang pegawai Malaysia hadir memandangkan hanya kakitangan MAS yang hadir semasa sesi taklimat.

"Sepuluh kakitangan syarikat penerbangan itu kemudian dimaklumkan supaya menunggu di dewan utama sementara sekumpulan 60 anggota keluarga pergi ke kedutaan Malaysia untuk mendapatkan pegawai kerajaan menghadiri taklimat itu.

"Kumpulan itu kemudian melepaskan kakitangan itu pada 1.44 pagi, 25 April," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi dalam satu lagi insiden, penyelia keselamatan MAS, S.Kalaichelven diserang seorang anggota keluarga rakyat China semasa bertugas di Lido Hotel di Beijing pada 22 April.

"Kakitangan syarikat penerbangan itu cuba menghentikan tindakan agresif seorang anggota keluarga terbabit yang menuntut akeses kepada sekretariat, apabila dia menendang staf berkenaan di lutut kirinya.

"Mereka yang berada di tempat kejadian dapat meredakan keadaan dan kemudian membawa Kalaichelven ke sekretariat untuk mendapatkan bantuan pertolongan cemas," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kakitangan terbabit hanya cedera ringan dan MAS membuat laporan polis berikutan insiden itu.

-- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment