Thursday 20 March 2014

Tikus 'berpesta', 18 premis makanan diarah tutup

Tikus

GEORGETOWN - Akibat tikus dan lipas berkeliaran, lapan belas premis makanan di Pulau Pinang diarah tutup mulai semalam.

Arahan itu dikeluarkan kerana premis berkenaan gagal mematuhi peraturan kebersihan, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin.

Beliau berkata arahan itu hasil operasi bersepadu pihaknya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bagi memeriksa kebersihan premis.

Kesemua tuanpunya diberi tempoh 14 hari untuk membersihkan premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan premis akan diperiksa sekali lagi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 37 premis diperiksa semalam iaitu 12 di Barat Daya, Timur Laut (tujuh), Seberang Perai Selatan (enam), Seberang Perai Utara (empat) dan Seberang Perai Tengah (lapan).

PBT turut mengeluarkan 56 kompaun berjumlah RM7,240 kerana kesalahan berniaga tanpa lesen dan tidak menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan di dapur, katanya.

Ku Nafishah berkata orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini.

Bernama

No comments:

Post a Comment