Saturday 22 March 2014

Tiga beranak disamun 4 lelaki berparang

KUANTAN - Tiga beranak berdepan dengan detik cemas apabila disamun oleh empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di kedai runcit milik mereka di Kampung Huma, Pekan Awah, Maran malam tadi.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superitenden Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu si suami, 58, dan isterinya, 56, bersama seorang anak lelaki mereka berusia 15 tahun turut diugut untuk dicederakan dengan parang sebelum mereka diikat.

"Ketika sedang berada di dalam kedai itu, empat lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba meluru masuk dan terus mengacukan senjatan itu ke arah mereka.

"Suspek kemudian bertindak mengikat kaki dan tangan tiga beranak tersebut sebelum menggeledah kedai mangsa," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya antara barang yang dilarikan termasuk barang kemas milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM5,000 dan wang tunai RM300.

Kata Sulaiman, polis kini sedang mengesan kesemua suspek terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 

Bernama

No comments:

Post a Comment