Saturday 22 March 2014

Taufan Tropika Gillian dijangka landa kawasan pencarian


SEPANG: Satu taufan tropika dijangka melanda kawasan pencarian MH370 di koridor selatan hari ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media harian yang diadakan di KLIA petang Sabtu.

“Taufan Tropika Gillian dijangka membawa angin kencang serta menyebabkan arus ombak besar di kawasan tersebut hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga merupakan menteri pertahanan turut memaklumkan bahawa misi pencarian di koridor utara tidak menemui apa-apa perkara yang boleh mengaitkan dengan penemuan MH370.

“Disahkan bahawa di koridor utara, pihak China, India, Pakistan, Myanmar, Laos, Kyrgyzstan dan Kazakhstan memaklumkan bahawa operasi mencari berdasarkan analisis awal mendapati tiada penemuan berkaitan MH370 dikesan pada radar mereka,” tambah Hishammuddin.

Sementara itu, pakar-pakar oseanografi sebelum ini berkata bahawa imej objek yang dikesan oleh rakaman satelit Australia mungkin sudah bergerak sehingga 500 kilometer lebih jauh daripada titik asal yang dikesan.

Selain itu, mereka turut menjelaskan mengenai sifat Lautan Hindi yang dinamik dimana ia kerap berubah terutama di bahagian dasarnya akan menyebabkan proses pencarian kotak hitam bertambah rumit.

Menjawab soalan pemberita mengenai perkara ini, Hishammuddin berkata, perubahan di lautan dalam ini memang diambil kira oleh semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari pesawat malang itu.

“Saya hendak tekankan di sini bahawa kawasan-kawasan tertentu telahpun ditetapkan bagi semua negara terlibat mengambil kepimpinan dan dalam hal ini, kepimpinan di kawasan berkenaan diketuai oleh Australia dan apa juga pertimbangan mereka, saya percaya bahawa kelengkapan yang paling canggih sedang digunakan termasuklah bagi kawasan laut dalam,” tambah beliau.

Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Rizal Arshad semalam menjelaskan kepada Astro AWANI bahawa kedalamanLautan Hindi mencecah 4000 meter dan terdapat sesetengah kawasan mencapai kedalaman hingga 7000 meter.

Beliau membuat perbandingan dimana kedalaman Lautan Hindi adalah sekurang-kurangnya sembilan hingga sepuluh kali ganda daripada ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420 meter.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment