Monday 17 February 2014

Kes Bunuh Hussain Najadi: 14 tahun penjara, 6 sebatan untuk pemandu teksi

Pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, 75, maut selepas ditembak di Lorong Ceylon pada Julai 30, 2013. --Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Pemandu teksi yang didakwa membawa suspek yang membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, hari ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan untuk kesalahan memiliki sepucuk pistol, bekalan peluru serta empat butir peluru hidup.

The Star Online melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Azwarnida Affandi membuat keputusan itu terhadap Chew Siang Chee, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Chew dijatuhi hukuman 10 tahun dan enam sebatan untuk memiliki pistol jenis Walther dan bekalan peluru manakala dijatuhi empat tahun penjara untuk memiliki empat butir peluru hidup.

Azwarnida mengarahkan hukuman itu dijalani serentak dari tarikh penangkapan Chew pada 3 Ogos tahun lepas.

Chew diwakili oleh peguam Ramesh Raj manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menjalankan pendakwaan.

Chew didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Walther model PPK/S Cal.9mm Kurz/380ACP bersama satu magazine Walther yang menyalahi undang-undang di Peti Surat B-15-2, Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, pada jam 5.45 petang 3 Ogos tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Chew juga didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short) (S&B 9mm) tanpa lesen pada masa dan di tempat yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan pemandu teksi itu dipercayai membawa suspek berhubung kes pembunuhan Hussain yang ditembak mati pada 29 Julai lepas.

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembakdari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment