Monday 17 February 2014

Kawasan utama 'Pit Lane' SIC berwajah baharu


KUALA LUMPUR: Beberapa penambahbaikan telah dilakukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) termasuk memasang bumbung baharu dengan rekabentuk menarik di kawasan utama "pit lane" menjelang Grand Prix Formula 1 (F1) Petronas 2014.

Ketua Pegawai Eksekutuf SIC Datuk Razlan Razali berkata kemudahan lain di litar itu juga sedang dilaksanakan.

"Bumbung dengan ciri-ciri rekabentuk yang menarik akan memberi keselesaan kepada mereka yang menggunakan kawasan pit. Inilah penambahbaikan utama yang dijalankan tahun ini bagi F1," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Grand Prix Malaysia oleh pengerusi SIC Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir di sini hari ini.

Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi hos Pusingan 2 siri dunia 19 pusingan pada tahun ini dari 28 hingga 30 Mac.

Musim baharu bermula di litar jalan Albert Park di Melbourne, Australia pada 16 Mac sebelum ke Malaysia bagi kejohanan pembukaan di litar sebenar.

Razlan berkata SIC yakin dapat menarik ramai peminat sukan itu pada tahun ini dengan menyasarkan lebih 125,000 penonton termasuk peminat antarabangsa.

Beliau berpendapat Kejohanan Dunia F1 2014 akan menjadi kejohanan paling menarik yang menyaksikan persaingan terbuka kerana tiada pasukan dianggap sebagai pasukan pilihan.

Aktiviti-aktiviti di luar trek juga dijangka tidak kurang mencuri perhatian peminat.

SIC telah menyediakan antara lain pertunjukan udara aerobatik yang menampilkan pasukan profesional aerobatik Malaysia, KRISAKTI.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, SIC juga menyediakan ruang bagi Festival Makanan.


Bernama

No comments:

Post a Comment