Monday 3 February 2014

FAM adakan mesyuarat khas Khamis ini siasat insiden Piala FA


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini, bagi membincangkan insiden perlawanan pusingan kedua antara pasukan Terengganu, T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Baharu Sabtu lalu.

Perkara ini disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah sewaktu dihubungi Astro AWANI hari ini.

Memetik laporan awal oleh BERNAMA, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata mesyuarat tersebut akan dijalankan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah serta komisioner dan pengadil perlawanan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

“Saya harap para media dapat bersabar sebelum keputusan muktamad diumumkan oleh FAM pada Khamis ini," kata Hamidin yang turut kesal dengan insiden tersebut.

Hamidin berkata, pihaknya dijangka menerima laporan perlawanan itu selewat-lewatnya hari ini daripada komisioner perlawanan, Zainal Mukri sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata FAM perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung punca pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua.

"Sememangnya saya amat kesal dengan kejadian yang menimpa pasukan berstatus kelab ini sehinggakan pemain serta jurulatih kecergasan kami pun dipukul di tempat lawan," katanya.

Dalam satu laporan akhbar semalam, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin Sabtu lalu tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.

Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 pada separuh masa.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata beliau telah mengarahkan pemain serta pengurusan T-Team untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata pihaknya juga memohon bahagian pengurusan tertinggi T-Team mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu serta mengarahkan mangsa membuat pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu ketua jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah menggesa FAM supaya memindahkan perlawanan ulangan itu ke gelanggang berkecuali bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Beliau yang kesal dengan insiden itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan ia menjadi lebih keruh dan menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menyiasat mengenai insiden di Larkin itu.

"Saya juga perlu melihat dahulu kecederaan para pemain dan pegawai pasukan (T-Team) sebelum dapat membuat ulasan lanjut, namun adalah lebih elok sekiranya FAM sendiri yang menyiasat mengenai insiden itu," katanya. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment